MENU
23 Julai 2022-Selaras dengan penjenamaan semula Bandar Raya Ipoh sebagai Bandar Seni, Majlis Bandaraya Ipoh mewujudkan Lorong Seni di Lorong Panglima yang dilancarkan oleh YB Dato’ Nolee Ashilin bt Dato’ Mohammed Radzi, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak pagi ini. Ia turut dihadiri oleh Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh, Cik Nurmalis Binti Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Ahli Majlis dan Ketua Jabatan MBI.
 
Antara aktiviti yang diketengahkan adalah pameran, jualan produk seni, kraftangan traditional dan moden termasuk peralatan muzik dari pelbagai kaum, persembahan buskers dan juga installation art hasil karya UiTM, Seri Iskandar serta pemasangan papan tanda Lorong Seni@Lorong Panglima, Ipoh.
 
Lorong Seni@Lorong Panglima, Ipoh ini merupakan kesinambungan dan akan melengkapi Concubine Lane bagi menarik lebih ramai pengunjung dan memberi peluang kepada usahawan-usahawan untuk menonjolkan bakat seni dan kraftangan di Bandar Raya Ipoh.
Lorong Panglima ini telahpun diwartakan sebagai laluan pejalan kaki.
 
Satu sesi penyertaan awam (public engagement) telah diadakan pada 13 Jun 2022 untuk memaklumkan pemilik-pemilik premis di Lorong Panglima mengenai aktiviti-aktiviti yang akan diadakan di lorong berkenaan.
 
Kesemua jemputan yang hadir telah bersetuju dengan cadangan pewujudan Lorong Seni tersebut yang akan beroperasi pada setiap hari Sabtu mulai jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengahari.
Selain daripada itu, pihak NCIA dengan kerjasama MBI juga dalam proses mengubahsuai Dewan Bandaran sebagai Istana Budaya dan Pejabat Pos Lama sebagai Balai Seni Visual yang mana kerja-kerja akan dimulakan pada bulan Ogos 2022 dan dijangka siap dalam tahun 2024.
 
Ini adalah selaras dengan Bandar Raya Ipoh sebagai Bandar Seni dan persiapan bagi menyambut Tahun Melawat Perak pada tahun 2025.