MENU
 
16 September 2021- Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah melancarkan 13 unit lori terbuka (8 tan) sempena Program Perkhidmatan Sampah Kebun dan Pukal (Percuma) pagi tadi bagi meningkatkan kualiti persekitaran yang bersih dalam usaha untuk merealisasikan hasrat menjadikan Ipoh sebagai bandaraya terbersih di Malaysia menjelang tahun 2023.
 
MBI telah membeli sebanyak 23 unit lori bernilai RM3,668,500.00 walaubagaimanapun, hanya 17 unit lori terbuka (8 tan) akan digunakan khusus untuk perkhidmatan kutipan sampah kebun dan pukal secara percuma manakala 6 lori lagi bagi mengatasi masalah sampah haram agar bandaraya Ipoh kekal bersih. Sehubungan itu, MBI telah melantik seramai 56 pekerja dan 14 pemandu baru.
 
Operasi perkhidmatan kutipan sampah kebun & pukal tersebut akan bermula pada 17 September, 2021 mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu sebulan sekali di semua taman perumahan.
 
Untuk makluman, buat sementara Majlis akan menggunakan 13 unit lori terbuka (8 tan) yang baru ini untuk menjalankan tugas-tugas kutipan sampah terlebih dahulu sehingga masalah kutipan sampah selesai. Pihak LTC Alam Bersih Sdn Bhd juga telah menjadualkan semula perkhidmatan kutipan sampah di sekitar Bandaraya Ipoh dengan jadual kutipan sampah daripada tiga kali seminggu kepada dua kali seminggu mulai 20 September 2021 bagi memastikan perkhidmatan kutipan sampah .
 
Setakat ini, MBI telah memasang sebanyak 103 papan tanda jadual perkhidmatan kutipan sampah kebun & pukal secara percuma di seluruh Ipoh dan telah mencetak risalah untuk edaran kepada warga Ipoh serta hebahan melalui media massa. Wargakota Ipoh juga boleh mendapatkan jadual kutipan sampah seluruh kawasan majlis dengan mengimbas QR Code di papan tanda, risalah dan portal Majlis.
 
Saya amat yakin, langkah-langkah ini akan membantu MBI merealisasikan hasrat untuk menjadikan Ipoh bandar terbersih di Malaysia pada tahun 2023.
 
Untuk perkhidmatan ini, Majlis telah menetapkan syarat-syarat berikut yang perlu dipatuhi :-
a. Sampah seperti daun-daun, rumput rumpai dan bahan-bahan yang kecil hendaklah dimasukkan ke dalam beg plastik sampah dan diikat dengan kuat;
 
b. Dahan kayu dan ranting-ranting hendaklah dipotong pendek disusun dan diikat dengan kuat;
 
c. Bagi perabut-perabut, tuan punya hendaklah memecahkannya terlebih dahulu kepada kepingan yang kecil serta disusun dan diikat dengan kuat;
 
d. Pihak majlis tidak akan mengambil atau memungut tunggul- tunggul pokok atau batang-batang pokok yang besar;
 
e. Kutipan hanya dibuat sebulan sekali mengikut jadual yang telah ditetapkan, tiada perkhidmatan tambahan selain daripada tarikh yang telah ditetapkan di dalam jadual;
 
f. Penduduk hanya dibenarkan mengeluarkan sampah kebun mereka sehari sebelum jadual kutipan dijalankan.
 
MBI juga berharap agar wargakota Ipoh sentiasa mengamalkan budaya penggunaan tong sampah bagi meningkatkan kualiti persekitaran yang bersih.
 
Mengikut Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap, MP1 1986.
 
UUK 3(1)
Pemunya/penduduk hendaklah menyediakan dan menyelenggarakan tong sampah dengan bibir tutup rapat tidak lebih daripada 0.085 cu. meter pada isipadunya.
 
UUK 3(2)
Semua sampah sarap isi rumah hendaklah dimasukkan ke dalam beg plastik yang mana hendaklah diikat kuat-kuat sebelum dimasukkan ke dalam tong sampah.
 
Semoga program ini akan menjadi titik-tolak dalam merealisasikan hasrat menjadikan Ipoh sebagai bandaraya terbersih di Malaysia menjelang tahun 2023.