MENU
10 Januari 2022- YAB Dato' Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak telah merasmikan projek pecah tanah kerja menaik taraf Jalan Tambun pagi tadi.
 
Ia turut dihadiri oleh YB Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu, Ahli Parlimen Tambun merangkap Menteri Belia Dan Sukan, YB Dato’ Haji Mohd Zolkafly Bin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr.Jeffry Cheah, Pengerusi Sunway Group,YB Encik Muhammad Arafat Varisai Mahamad, ADUN Hulu Kinta dan Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin @ Md Daud, Datuk Bandar Ipoh.
 
Projek kolaborasi bagi menaik taraf Jalan Tambun antara Majlis Bandaraya Ipoh dan Sunway City Ipoh Sdn Bhd ini bertujuan untuk melancarkan aliran lalulintas di jalan tersebut selari dengan pembangunan di kawasan Bandar Sunway Ipoh.
 
Projek naik taraf tersebut telah bermula dari simpang susur masuk Jalan Persekutuan 240 (Ampang-Jelapang) sehingga ke persimpangan lampu isyarat Taman Perpaduan.
 
Projek berkenaan merangkumi jarak kira-kira 5.2 kilometer dengan kos dianggarkan berjumlah RM16.35 juta. Peruntukan berjumlah RM 8.0 juta telah disediakan oleh Kerajaan Negeri Perak manakala selebihnya di tanggung oleh pihak Sunway sejumlah RM 8.35 juta melibatkan pembinaan jalan, pengambilan balik tanah dan perlantikan jurutera perunding.
 
Cadangan naiktaraf jalan ini melibatkan penggantian lima (5) persimpangan berlampu isyarat sediada kepada laluan pusingan –U secara bebas di tiga (3) lokasi yang telah dikenalpasti. Ia juga melibatkan kerja pemasangan lampu jalan jenis LED, turapan semula permukaan jalan, pemasangan fasiliti keselamatan jalanraya dan menaiktaraf sistem perparitan sediada bagi mengatasi masalah banjir kilat.
 
Projek yang bermula pada 1 April 2021 dijangka siap sepenuhnya pada bulan September 2022. Ia telah tertangguh disebabkan oieh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan semasa Pandemik COVID-19.
Projek naiktaraf jalan ini juga dijangka akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas karbon daripada asap kenderaan apabila kesesakan lalulintas dapat diatasi dan pergerakan kenderaan bergerak dengan lebih lancar.
 
Penggantian lampu jalan kepada jenis LED juga akan dapat mengurangkan penggunaan bekalan elektrik dan dapat membantu pengurangan pelepasan gas rumah hijau.
 
Perlaksanaan projek ini juga diharap akan dapat melancarkan aliran lalulintas di Jalan Tambun, disamping merancakkan pertumbuhan pembangunan dan ekonomi setempat yang mapan dan lestari selari dengan hasrat Majlis Bandaraya Ipoh kearah Bandaraya Rendah Karbon 2030.
 
Semoga pembangunan yang sedang dibangunkan oleh pihak Sunway di Bandar Sunway Ipoh ini, bakal menjadi peneraju bagi pembangunan Bandar Pintar Rendah Karbon di negeri Perak khususnya dan di Malaysia amnya.