MENU
Majlis Bandaraya Ipoh mengecam tindakan segelintir wargakota Ipoh yang gemar membuang sampah haram sesuka hati yang disifatkan tidak memiliki perasaan sayang terhadap bandaraya Ipoh hingga sanggup berkelakuan sebegitu.
 
Sehubungan itu, mulai 3 Ogos 2022 wargakota Ipoh yang gemar membuang sampah haram sesuka hati di Bandaraya Ipoh bakal dikenakan tindakan tegas oleh Majlis Bandaraya Ipoh.
MBI akan mengeluarkan kompaun bernilai RM1000 tanpa sebarang rayuan kepada pembuang sampah haram itu di bawah Akta Jalan, Parit & Bangunan.
 
Tindakan segelintir warga kota yang tidak bertanggungjawab inilah yang telah mencalarkan imej wargakota Ipoh.
 
Ia sekaligus menggagalkan usaha MBI untuk memupuk budaya “Ipoh Bestari Sejahera" yang menjadi slogan MBI.
 
Perbuatan begini seharusnya dihentikan segera kerana ia akan memberikan contoh tidak baik, malah sebagai wargakota Ipoh, kita mempunyai peranan dalam menjaga moral dan sivik.
 
Ia adaah sejajar dengan usaha berterusan MBI untuk mencapai hasrat menjadikan Ipoh Bandaraya Terbersih di Malaysia 2023 serta Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik di Malaysia.
 
Untuk makluman, dari 1 Januari hingga 30 Julai 2022, MBI telah membersihkan 1,672 lokasi longgokan sampah haram sebanyak 3,765 kali dan mengeluarkan 780 kompaun bernilai RM 205,590.
 
MBI juga turut menjalankan 17 gotong-royong serta memasang 83 papan tanda “Dilarang Membuang Sampah” di sekitar Bandaraya Ipoh.
 
Tanggungjawab ini bukanlah terletak di bawah MBI semata-mata tetapi memerlukan penglibatan semua pihak. Tindakan mengkompaun adalah tindakan terakhir setelah tindakan lain tidak diendahkan oleh wargakota Ipoh.
 
Semoga Bandaraya Ipoh akan mencapai hasrat menjadi Bandaraya Terbersih di Malaysia tahun 2023.