IPOH, 11 OKTOBER 2025 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) telah berjaya menganjurkan 9A-Side Football Carnival 2025, yang kini memasuki edisi ke-11, bertempat di Padang Ipoh, Taman DR Seenivasagam dan Padang Sultan Abdul Jalil.
Majlis penutupan kejohanan tersebut telah disempurnakan oleh Toh Amar Pahlawan Dato’ Ahmad Hariri bin Kamarudin, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan MBI, yang hadir mewakili YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Tuan Zamakhshari bin Hanipah.
Turut hadir ialah Ahli Majlis MBI, Tuan Haji Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya, serta wakil KLK, Encik Mohammad Shamsul Nizam bin Shahrom, Ketua Jabatan Infrastruktur dan Encik Lawrence Parthasarathy, Ketua Jabatan OSH KLK.
Penganjuran program sukan komuniti yang berterusan ini mendapat sambutan hangat daripada pasukan-pasukan bola sepak veteran bukan sahaja dari sekitar Ipoh, malah turut disertai oleh pasukan dari negeri-negeri lain. Program ini bukan sekadar sebuah pertandingan bola sepak, tetapi turut menjadi platform memperkukuh silaturrahim, semangat kesukanan dan perpaduan komuniti, khususnya dalam kalangan pemain veteran yang kekal aktif dan berdaya saing di padang hijau.
Kejohanan ini turut sejajar dengan aspirasi MBI untuk menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Bestari Sejahtera, yang menekankan gaya hidup sihat, kesejahteraan sosial dan keharmonian komuniti bandar.
Kejohanan kali ini menyaksikan penyertaan 13 pasukan dari pelbagai kawasan termasuk lima pasukan dari Ipoh, selain penyertaan pasukan dari Tapah, Sri Iskandar, Taiping, Batu Gajah, Pulau Pinang (tiga pasukan) dan Negeri Sembilan.
Semangat kesukanan yang ditonjolkan sepanjang kejohanan ini membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus cergas dan berdaya juang. Nilai-nilai positif yang dipamerkan para pemain veteran wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda dalam membudayakan gaya hidup aktif dan berdisiplin.
Menang atau kalah bukan ukuran utama, sebaliknya semangat kerjasama, kesetiaan berpasukan dan kebersamaan yang terjalin melalui sukan merupakan pencapaian sebenar yang perlu diraikan.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua urusetia, penaja, rakan strategik dan peserta yang telah menjayakan penganjuran kejohanan kali ini. Diharapkan agar 9A-Side Football Carnival terus menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh komuniti dan peminat bola sepak di Bandaraya Ipoh.
Keputusan Rasmi Kejohanan:
🏆 Juara: Veteran MBI A
🥈 Naib Juara: Veteran MBI B
🥉 Ketiga: Mantau FC
🏅 Keempat: Nexus FC