Ipoh, 10 Oktober 2025 – Mesyuarat Pengurus Pasukan dan Sesi Undian bagi Kejohanan Ipoh City Veteran 9A (ICV 2025) telah diadakan pada malam ini bertempat di Bilik Gerakan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Mesyuarat ini melibatkan 13 pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut dan turut menyaksikan sesi undian rasmi kumpulan bagi menentukan jadual perlawanan sepanjang kejohanan.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Encik Romzi bin Zamri, Pengarah Perkhidmatan Komuniti Bandaraya, yang bertujuan untuk memberikan taklimat mengenai syarat-syarat dan peraturan Kejohanan Ipoh City Veteran serta mengadakan sesi undian bagi 'grouping' yang turut menekankan aspek disiplin, semangat kesukanan dan ukhuwah antara peserta sebagai teras utama penganjuran kejohanan ini.
Kejohanan Ipoh City Veteran 9A (ICV 2025) merupakan platform tahunan anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan pemain bola sepak veteran selain memperkukuh semangat perpaduan dan jaringan komuniti di bandar raya Ipoh.
Sebanyak tiga kumpulan utama dibentuk hasil undian, dengan perlawanan dijadualkan berlangsung di Padang DR. Seenivasagam, Padang Ipoh dan Padang Sultan Abdul Jalil bermula tidak lama lagi.
MBI mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pasukan yang bertanding dan berharap kejohanan ini akan berlangsung dengan jayanya serta mencerminkan semangat kesukanan yang tinggi di kalangan pemain veteran bukan bandar raya Ipoh sahaja tetapi ada juga pemain luar Ipoh dan negeri lain.