Ipoh, 9 Oktober 2025 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah melaksanakan lawatan penandaarasan di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dalam satu lawatan rasmi yang berlangsung dengan suasana mesra dan harmoni.
Delegasi seramai 30 orang itu diketuai oleh Puan Normala binti Latiff, Pengarah Khidmat Pengurusan MBI dan di sambut mesra oleh Tuan Haji Abdul Aziz bin Ithnin, Pengarah Khidmat Pengurusan, MBJB dan Tuan Haji Fadzil bin Mohamad, Pengarah Teknologi Maklumat, MBJB.
Lawatan ini bertujuan mempelajari berkaitan pelaksanaan pengurusan portaI. Portal MBI adalah sangat penting kerana ia menjadi pintu masuk digital utama untuk wargakota Ipoh mengakses maklumat, perkhidmatan, dan interaksi rasmi dengan MBI. Portal MBI mencerminkan tahap profesionalisme, ketelusan, dan kecekapan serta merangkumi pelbagai fungsi penting yang berkaitan dengan perkhidmatan awam, pentadbiran, pembayaran, dan aduan.
MBI amat menghargai lawatan seumpama ini yang menjadi platform penting bagi pertukaran idea, pemindahan pengetahuan serta perkongsian amalan terbaik antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Inisiatif ini diyakini dapat memberi impak positif kepada usaha berterusan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh kerjasama antara agensi demi kesejahteraan rakyat.
Majlis turut diakhiri dengan sesi bergambar kenangan dan pertukaran cenderahati antara kedua-dua pihak sebagai simbolik kepada hubungan kerjasama yang erat dan berterusan.