Ipoh, 8 Oktober 2025 – YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh telah menerima kunjungan hormat daripada ChM En. Ramlee bin Ibrahim, Pengarah Jabatan Kimia Malaysia Negeri Perak di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini.
Kunjungan tersebut bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antara Majlis Bandaraya Ipoh dan Jabatan Kimia Malaysia Negeri Perak dalam aspek pengurusan alam sekitar, kawalan bahan kimia berbahaya serta peningkatan kualiti makmal dan analisis saintifik bagi menyokong pembangunan bandar yang mampan dan selamat.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut berkongsi pandangan serta idea kolaboratif yang boleh diterokai pada masa hadapan, khususnya dalam bidang pemantauan kualiti air, pengurusan sisa berjadual dan penyelidikan saintifik bagi memperkukuh dasar serta pelaksanaan projek-projek hijau di Bandar Raya Ipoh.
YBhg. Datuk Bandar Ipoh turut merakamkan penghargaan atas kesudian pihak Jabatan Kimia Malaysia Negeri Perak untuk menjalin hubungan strategik dengan MBI, selaras dengan usaha menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Bestari Sejahtera.
Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua agensi dalam memperkukuhkan kerjasama teknikal dan profesional ke arah pembangunan bandar yang lebih lestari dan selamat untuk semua.