Ipoh, 15 Oktober 2025 – YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh hari ini menerima kunjungan hormat daripada Encik Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan, Naib Presiden (VP) Bahagian Negeri (State Business) TM One, di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Kunjungan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara Majlis Bandaraya Ipoh dan TM One dalam memperluaskan kerjasama ke arah pembangunan bandar pintar (smart city) serta mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan digital di bandar raya ini.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut berbincang mengenai peluang kerjasama dalam bidang pendigitalan perkhidmatan bandar, pengurusan data raya (big data), keselamatan siber serta infrastruktur komunikasi yang selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 dan Malaysia Madani.
Majlis Bandaraya Ipoh menyambut baik inisiatif kerjasama strategik ini sebagai satu langkah ke hadapan dalam merealisasikan agenda transformasi digital MBI demi kemudahan dan kesejahteraan warga kota Ipoh.