Ipoh, 16 Oktober 2025 – Persatuan Pegawai Kanan Majlis Bandaraya Ipoh (PADUAN) terus menjadi lambang kesepakatan dan kekuatan kepemimpinan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), mencerminkan semangat kebersamaan, profesionalisme serta nilai integriti yang kukuh dalam kalangan warga pengurusan MBI.
YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Tuan Zamakhshari bin Hanipah, menzahirkan penghargaan tersebut kepada seluruh warga PADUAN atas komitmen serta usaha berterusan memperkukuh semangat kebersamaan dan profesionalisme sepanjang lebih tiga dekad penubuhannya. Penghargaan tersebut dizahirkan sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-37 PADUAN yang berlangsung malam ini.
Turut hadir, Ir. Ts. Arif bin Mohd Zainudin, Presiden PADUAN; Tuan Haji Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya; barisan mantan presiden, Ahli Jawatankuasa serta pegawai kanan MBI.
YBhg. Datuk Bandar turut menegaskan bahawa PADUAN berperanan penting sebagai wadah pembangunan kepimpinan dan platform memperkukuh hubungan strategik dalam kalangan pegawai kanan MBI.
> “PADUAN bukan sekadar sebuah persatuan dalaman, tetapi juga platform pembangunan kepimpinan yang telah melahirkan ramai tokoh dalam pentadbiran kerajaan tempatan di Negeri Perak,” ujar beliau sambil menzahirkan rasa bangga terhadap sumbangan mantan-mantan presiden yang kini menyandang jawatan penting di majlis perbandaran lain.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan sebenar MBI bukan hanya bergantung kepada struktur pentadbirannya, tetapi berpaksikan semangat kerjasama, kesepaduan, dan nilai kekitaan yang terjalin erat antara pegawai serta warga kerja.
YBhg. Datuk Bandar turut menyeru agar PADUAN terus menjadi penggerak budaya kerja cemerlang serta memainkan peranan aktif dalam menghadapi cabaran era digitalisasi dan agenda kelestarian bandar.
> “Kita memerlukan pasukan pengurusan yang berfikiran strategik, inovatif dan berjiwa besar. Saya yakin PADUAN mampu menjadi inspirasi kepada seluruh warga MBI untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, integriti dan tanggungjawab,” jelas beliau.
Majlis yang penuh bermakna ini turut meraikan pesara daripada kalangan ahli PADUAN serta mantan presiden sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mereka dalam membangunkan organisasi MBI.
YBhg. Datuk Bandar turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada PADUAN atas ulang tahun ke-37, serta menyampaikan penghargaan kepada barisan urusetia dan semua pihak yang menjayakan majlis berkenaan.
Majlis ini bukan sahaja menjadi pentas penghargaan terhadap jasa pegawai kanan MBI, malah memperkukuh semangat kekeluargaan dan kebersamaan organisasi seiring aspirasi Perak Sejahtera 2030 dan Malaysia Madani.