Ipoh, 27 Oktober 2025 (Isnin) – YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, telah menyampaikan “Reward” bagi bulan September 2025 kepada lima (5) orang penerima yang terdiri daripada anggota lapangan Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tengahari tadi.
Senarai penerima “Reward” bagi bulan September 2025 adalah seperti berikut:
1. Sathiamurthi A/L Konasegaran (No. Pekerja: 16168) – Zon Housing Trust;
2. Puanesvaran A/L Letchmanan (No. Pekerja: 16161) – Zon Housing Trust;
3. Noor Aishah Bt Hassan Basri (No. Pekerja: 12769) – Zon Pinji;
4. Meor Yusri Bin Yusof (No. Pekerja: 15505) – Zon Pinji;
5. Muhammad Faizal Bin Libasa (No. Pekerja: 15134) – Zon Tambun.
Pemilihan penerima “Reward” melibatkan anggota daripada gred jawatan Pembantu Perkhidmatan Am, Pemandu Kenderaan dan Mandor, yang merupakan antara tulang belakang utama operasi lapangan MBI.
Seramai lima (5) orang anggota akan dipilih setiap bulan berdasarkan prestasi kerja mengikut zon perkhidmatan masing-masing. Antara kriteria pemilihan termasuk:
a) Tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib;
b) Mempunyai kehadiran kerja yang baik tanpa cuti sakit atau cuti rehat (diberi keutamaan);
c) Tidak lewat hadir bertugas; dan
d) Melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan disiplin tinggi.
Pemilihan akhir dibuat berdasarkan keputusan panel jabatan.
Setiap penerima “Reward” menerima Sijil Penghargaan Cemerlang, wang tunai RM100 (dikreditkan ke akaun masing-masing), serta paparan nama dan gambar di lokasi strategik seperti pejabat dan kawasan tumpuan awam.
Inisiatif ini merupakan cetusan idea YBhg. Datuk Bandar Ipoh sendiri sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada anggota lapangan MBI yang menunjukkan prestasi kerja cemerlang. Pelaksanaan program ini bertujuan memupuk semangat kerja tinggi, meningkatkan motivasi dan memperkukuh budaya kecemerlangan dalam kalangan warga kerja lapangan.
Usaha ini juga sejajar dengan komitmen MBI untuk memastikan Bandaraya Ipoh kekal bersih, indah dan sejahtera melalui penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan.
Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran merupakan jabatan utama yang bertanggungjawab melaksanakan dan memantau kerja-kerja pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, iaitu antara perkhidmatan teras MBI.
Unit Pengurusan Sisa Pepejal melaksanakan kerja kutipan sampah di pasar awam, pusat penjaja, medan selera serta pengumpulan sampah domestik luar bandar (PPSD). Sementara itu, Unit Pembersihan Awam bertanggungjawab terhadap penyapuan jalan, pengurusan sampah kebun dan pukal, pembersihan sampah haram serta penyelenggaraan kebersihan di kawasan awam dan kemudahan MBI.
Majlis Bandaraya Ipoh berharap agar pelaksanaan Pemberian “Reward” Kepada Anggota Lapangan Bagi Pencapaian Cemerlang Setiap Bulan ini menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi kerja, mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan anggota, serta memperkukuh lagi kecekapan penyampaian perkhidmatan awam demi kesejahteraan warga kota Ipoh.