Pengumuman

PEMBINAAN MYKIOSK DI BANDARAYA IPOH

Majlis telah menerima peruntukan berjumlah RM1,825,000.00 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi pelaksanaan projek MyKiosk dalam dua fasa iaitu pada tahun 2023 dan 2024. Projek ini bertujuan untuk mengelakkan aktiviti penjajaan tanpa lesen, mengutamakan aspek keselamatan dan keselesaan penjaja serta pelanggan dan untuk menyeragamkan reka bentuk gerai penjaja kecil di kawasan Majlis. Selain itu, ia juga menyumbang kepada usaha memperindah persekitaran bandar serta menyediakan ruang niaga yang lebih teratur dan mesra alam kepada penjaja tempatan.

Pelaksanaan projek ini telah dibuat melalui kaedah sebut harga terbuka mengikut tatacara perolehan kerajaan. Setiap satu pakej kerja telah dianugerahkan kepada kontraktor yang berbeza, di mana setiap kontraktor melaksanakan kerja-kerja fabrikasi berdasarkan reka bentuk dan cadangan teknikal masing-masing yang dikemukakan dalam kertas cadangan semasa proses penilaian. Pembekal kiosk juga berbeza bagi setiap kontraktor mengikut cadangan mereka sendiri.

Bagi fasa pertama, projek MyKiosk 1.0 bagi tahun 2023 telah menerima peruntukan sebanyak RM825,000.00 melibatkan pembinaan 55 unit kiosk. Kos purata bagi setiap unit adalah RM15,000.00. Butiran kos kontrak yang telah dianugerahkan kepada kontraktor adalah seperti berikut: satu kontrak bernilai RM290,200 untuk 21 unit, RM204,200 untuk 15 unit, RM193,200 untuk 14 unit, dan RM69,000 untuk 5 unit. Kesemua 55 unit MyKiosk 1.0 telah siap dipasang dan beroperasi sepenuhnya di kawasan Meru, Ipoh pada tahun 2024.

Bagi fasa kedua, projek MyKiosk 2.0 pada tahun 2024 telah menerima peruntukan sebanyak RM1,000,000.00 untuk pembinaan 40 unit kiosk, dengan jumlah kos sebenar RM963,500.30 dan purata kos sebanyak RM25,000.00 seunit. Lokasi pemasangan MyKiosk 2.0 adalah seperti berikut: 17 unit di Jalan Jumbo Jet yang mula beroperasi pada Mei 2025, 17 unit di Station 18 yang kini dalam proses pembaikan kecacatan oleh kontraktor sebelum diserahkan kepada Jabatan Pengurusan Fasiliti MBI untuk proses tawaran kepada penjaja, serta 6 unit di Jalan Ashby yang sedang dalam proses pembinaan tapak.

MyKiosk 2.0 merupakan versi penambahbaikan kepada MyKiosk 1.0 dengan beberapa ciri baharu yang lebih efisien dan moden. Antara penambahbaikan tersebut termasuklah peningkatan kapasiti panel solar untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, reka bentuk yang lebih tahan cuaca dan tidak mudah bocor, serta pilihan fungsi yang lebih tersusun mengikut keperluan sama ada sebagai Food & Beverage Kiosk atau Multipurpose Kiosk. Berbanding MyKiosk 1.0 yang lebih umum reka bentuknya, versi 2.0 lebih fleksibel dan berfokus kepada keperluan penjaja masa kini.

Majlis Bandaraya Ipoh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atas sokongan berterusan terhadap pembangunan komuniti bandar melalui pendekatan inklusif yang mesra penjaja. Diharapkan projek MyKiosk ini akan terus memberi manfaat secara langsung kepada golongan penjaja kecil serta menyumbang kepada pembentukan persekitaran perniagaan yang lebih teratur, bersih dan berdaya saing di Bandaraya Ipoh.

493726518 1080547417431111 2220084604622089298 N
495171477 1080547410764445 7241956349806263792 N
497346608 1080547467431106 8549242133976407075 N
497928767 1080547337431119 3586443791830587285 N
497648315 1080547360764450 588019849394454316 N
mbir

Check out MBI Portal Radio  and MBI Radio Facebook for DJ segment info
ipohse
  • Ipoh City Council, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan
  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Copyright © 2023 Ipoh City Council (MBI). Suitable for displaying using IE version 9 & above, Mozilla Firefox version 6.0 above and Google Chrome 13.0 above with a resolution of 1024 x 768 above. Update:27/05/2025| Visitors Count :
  • All 5708132