SESI TOWNHALL BERSAMA PERSATUAN PENDUDUK BERKENAAN ISU KAWASAN PERUMAHAN BERPENGAWAL BAGI ZON 24, SIMPANG PULAI

Ipoh, 5 Mei 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sering menerima aduan berkaitan pembinaan pondok pengawal, pemasangan palang keselamatan atau boom gate, serta pembinaan pagar halangan di atas rizab jalan, khususnya di kawasan perumahan bukan strata dalam kawasan pentadbiran MBI.

Aduan yang diterima bukan sahaja dikemukakan oleh orang awam, malah turut melibatkan penduduk di kawasan perumahan berkenaan. Antara isu yang sering dibangkitkan termasuklah halangan terhadap akses jalan awam, sekatan penggunaan kawasan awam seperti kawasan lapang dan kemudahan awam, serta kekangan kepada penduduk yang tidak menyertai persatuan penduduk.

Sehubungan itu, satu sesi townhall bersama persatuan penduduk telah diadakan pada hari ini bagi memberi penerangan berhubung tindakan penguatkuasaan bangunan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Sesi tersebut turut dihadiri oleh YB Wong Chai Yi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, YBhg. Clr. Puan Zuraidah binti Zakaria, Ahli Majlis MBI, serta wakil daripada pelbagai jabatan dalaman MBI.

Taklimat berkaitan tindakan penguatkuasaan telah disampaikan oleh Ts. Rabiatul Alia binti Azmi, Penolong Pengarah Kawalan Pembangunan (Penguatkuasaan dan Seni Bina). Selain itu, sesi berkenaan turut melibatkan pembentangan mengenai Garis Panduan Pembangunan Skim Komuniti Berpengawal MBI oleh Puan Jaslina binti Shaidin, Timbalan Pengarah Perancangan Bandar.

Pihak Majlis berharap agar sesi townhall ini dapat memberi kefahaman yang lebih jelas kepada persatuan penduduk mengenai keperluan pematuhan terhadap undang-undang dan garis panduan yang sedang berkuat kuasa.

Dalam masa yang sama, persatuan penduduk disaran supaya mengambil langkah lebih proaktif bagi mendapatkan kelulusan terhadap struktur binaan sedia ada seperti pondok pengawal, palang keselamatan atau boom gate, serta pagar perimeter, selaras dengan peruntukan undang-undang dan prosedur yang telah ditetapkan.

MBI komited dalam memastikan pembangunan kawasan perumahan berpengawal dilaksanakan secara teratur, selamat dan tidak menjejaskan hak serta kepentingan awam.

686077080 1361645305987986 7614825654948141380 N
687112966 1361645215987995 6931738661437482013 N
687745193 1361645202654663 8113239134065920172 N
687759172 1361645262654657 5696088242200451749 N
687771945 1361645255987991 3592960665136437994 N
687786325 1361645295987987 3335939545326079333 N
687926881 1361645289321321 3002405585292349798 N
  • Hits: 150
mbir

Check out RadioTV BI Portal  and MBI Radio Facebook for DJ segment info
ipohse
  • Ipoh City Council, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan

  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Copyright © 2023 Ipoh City Council (MBI). Suitable for displaying using IE version 9 & above, Mozilla Firefox version 6.0 above and Google Chrome 13.0 above with a resolution of 1024 x 768 above. Update:23/06/2026| Visitors Count :
  • All 6807144