Seri Manjung, 4 Ogos 2026 – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung (MPM), hari ini.
Turut mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan ialah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.
Majlis yang berlangsung di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung, Seri Manjung itu turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama ialah Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak Darul Ridzuan; Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi; barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak; ketua-ketua jabatan serta para tetamu jemputan.
Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh, sebagai tanda sokongan serta memperkukuh hubungan kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan di Negeri Perak.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebesaran Negeri Perak, diikuti bacaan ayat-ayat suci al-Quran, bacaan doa serta sembah ucapan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.
Perasmian Dewan Merdeka ini merupakan satu lagi mercu tanda penting dalam pembangunan kemudahan awam di daerah Manjung, khususnya dalam menyediakan ruang yang lebih selesa, moden dan representatif bagi penganjuran majlis rasmi, program kemasyarakatan, aktiviti kebudayaan serta pelbagai acara berskala besar.
Kemudahan berkenaan juga diyakini mampu memperkukuh peranan Majlis Perbandaran Manjung dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat, di samping menyokong pembangunan sosial, ekonomi dan sektor pelancongan setempat.
Pembukaan Dewan Merdeka mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Perbandaran Manjung dalam menyediakan prasarana berkualiti demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan daerah Manjung secara menyeluruh.