EKONOMI DONUT IPOH TERIMA ANUGERAH TINJAUAN KEHORMAT UN-HABITAT 2024
Program Ekonomi Donat Ipoh, berdasarkan sembilan prinsip DEAL, telah memenangi Anugerah Scroll of Honour UN-Habitat 2024 pada 27 Ogos 2024. Anugerah ini mengiktiraf usaha Ipoh dalam menjadi sebuah "Bandar Donut" yang regeneratif, berfokus kepada kesihatan, alam sekitar, dan pembangunan mampan. Sebanyak 5 penerima anugerah dari seluruh dunia bagi tahun 2024.
Untuk makluman, Program Ipoh Bandar Ekonomi Donat telah dilancarkan pada Mac 2023 dengan geran daripada Yayasan Hasanah. Projek ini adalah kerjasama antara Pusat Kesihatan Planetari Sunway Universiti (SCPH), Institut Darul Ridzuan (IDR), People of Remarkable Talent (PORT), dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Anugerah Scroll of Honour UN-Habitat ini, yang mengiktiraf kecemerlangan dalam pembangunan bandar, akan disampaikan pada acara bertemakan "Beyond the 2030 Agenda" di Queretaro, Mexico dari 8 hingga 10 Oktober 2024. Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh akan menerima anugerah ini bagi pihak MBI.
Kepentingan pencapaian ini terletak bukan sahaja pada anugerah itu sendiri, tetapi dalam pengiktirafan komitmen bersama untuk mengubah Ipoh menjadi sebuah bandar yang mampan, inklusif, dan berdaya tahan. Ia mencerminkan kesan mendalam dalam menerapkan model Ekonomi Donat, yang mengintegrasikan dimensi ekonomi, sosial, dan alam sekitar untuk mencapai laluan pembangunan yang seimbang dan mampan. Pencapaian ini adalah bukti bahawa bandar-bandar seperti Ipoh, apabila dibimbing oleh rangka kerja inovatif, mampu berkembang dalam batas ekologi sambil meningkatkan kesejahteraan komuniti mereka. MBI berhasrat untuk terus berusaha dalam menyelaraskan pembangunan dengan had ekologi sambil memperkukuhkan asas sosial komuniti Ipoh. MBI komited untuk memajukan usaha ini, memanfaatkan prinsip Ekonomi Donat, untuk mencipta masa depan yang lebih hijau dan inklusif.
Selaras dengan matlamat FLAGSHIP 15 dalam Rancangan Perak Sejahtera 2030, MBI akan memperkukuhkan komitmen untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk membina Ipoh yang berdaya tahan, sihat, dan mampan. Ipoh berhasrat untuk menjadi contoh perintis bagi bandar-bandar lain di Malaysia dan ASEAN dalam mengadaptasi model pembangunan bandar yang regeneratif dan mampan. Pengiktirafan yang kita terima ini adalah satu pencapaian penting, tetapi ia bukanlah penamat. Melalui Pelan Tindakan Ekonomi Donut Ipoh, MBI berhasrat untuk memperluaskan model ini ke semua daerah di negeri Perak untuk dijadikan contoh kepada bandar-bandar lain di Malaysia dan Asia.