Majlis Bandaraya Ipoh telah melaksanakan Projek Pembinaan Struktur Gerbang Malam Fasa 1 di Jalan Dato Tahwil Azar yang melibatkan 185 meter dan siap sepenuhnya pada April 2023.
Peruntukan projek ini adalah melalui Kerajaan Negeri Perak yang menerima Pemberian Khas YAB Perdana Menteri Tahun 2019 di bawah Akaun Amanah Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan berjumlah RM2,600,000.00.
Majlis Bandaraya Ipoh juga telah memperuntukkan tambahan kos berjumlah RM300,000.00 bagi projek ini.
Untuk makluman, sebahagian lagi tapak Gerbang Malam (171 meter) berbanding keseluruhan Tapak Gerbang Malam (356 meter) tidak dapat dilaksanakan disebabkan oleh kekurangan peruntukan.
Projek sedia ada hanya mengambilkira penyediaan plug point heli fan namun tidak mengambilkira pemasangan heli fan.
Majlis Bandaraya Ipoh telah memohon peruntukan bagi Pembinaan Struktur Gerbang Malam Fasa 2 berjumlah RM4,250,000.00 kepada Pejabat Perdana Menteri melalui Surat No. Rujukan Bil(122) dlm. MBI F4/1/21/20 Jilid 4 bertarikh 3 April 2023 dan kepada Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya melalui Surat No. Rujukan Bil(52) dlm. MBI F4/1/21/20 Jilid 5 bertarikh 28 Ogos 2023.
Permohonan ini yang melibatkan Pembinaan Struktur Teduhan, Kerja-Kerja Elektrik termasuk pemasangan heli fan dan pembinaan penjalan kaki.
Memandangkan sehingga kini, Majlis Bandaraya Ipoh masih belum menerima kelulusan peruntukan pembinaan struktur Teduhan Fasa 2 yang mungkin disebabkan nilai permohonan yang tinggi maka pihak Majlis juga telah memohon peruntukan di bawah Kod BP1 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan jumlah yang lebih kecil iaitu RM500,000.00 bagi membolehkan 2 bay struktur dapat dijalankan dahulu sekurang-kurangnya untuk tahun 2024.
Majlis Bandaraya Ipoh berharap agar peruntukan keseluruhan projek ini dapat diluluskan mengikut jumlah yang dimohon bagi menambahbaik aktiviti perniagaan di Gerbang Malam seterusnya meningkatkan ekonomi Bandar Raya Ipoh dan peningkatan pelancong ke Ipoh.