Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak pada 11 Disember 2024 telah meluluskan Senarai Nilaian Baru bagi semua pegangan berkadar di dalam kawasan pentadbiran MBI dengan penurunan kadar peratus Cukai Taksiran. Sebahagian besar Cukai Taksiran telah diturunkan daripada 0.25 peratus - 2 peratus mengikut jenis bangunan. Pengesahan Senarai Nilaian Baharu ini telah disiar dalam Warta Kerajaan Negeri Perak pada 26 Disember 2024.
MBI telah mengadakan beberapa siri sesi libat urus bersama pemilik harta. Sesi libat urus MBI bersama penduduk / pemilik harta telah diadakan pada 12 November 2024. Kira – kira 900 orang telah hadir membuat semakan ke atas Senarai Nilaian Baharu. Sesi bersama Ahli Dewan Undangan (ADUN) Negeri Perak dan Ahli Parlimen dalam kawasan MBI juga telah diadakan pada 26 November 2024.
MBI juga telah mengadakan sesi libat urus bersama Persekutuan Pekilang Pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Negeri Perak, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPMM) Perak, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI), Dewan Perniagaan India Perak (PICC), Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) Perak pada 18 Disember 2024. Menerusi sesi tersebut, satu resolusi telah dicapai iaitu penubuhan Jawatankuasa Timbang Tara terdiri daripada panel 3 orang Ahli Majlis, wakil persatuan yang terlibat, Jabatan Penilaian dan Hartanah MBI dan dipengerusikan oleh Ahli Majlis.
MBI telah mengadakan sesi Pendengaran Bantahan Fasa 1 pada 6 Disember 2024 yang melibatkan 80 orang pemilik harta. Sesi Pendengaran Bantahan Fasa 2 akan diteruskan mulai 7 Januari 2025 hingga pertengahan bulan Mac 2025.
Dapatan daripada sesi libat urus dan sesi Pendengaran Bantahan tersebut, akan dijadikan asas pertimbangan dalam penentuan cukai taksiran.