
Ipoh, 29 Julai 2026 - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengingatkan semua pengusaha dan pemilik perniagaan di kawasan pentadbiran MBI supaya sentiasa mematuhi syarat serta peraturan berkaitan pelesenan premis perniagaan.
Sehubungan itu, semua pengusaha dan pemilik perniagaan diwajibkan untuk mengambil tindakan seperti berikut:
i. Memperbaharui lesen premis perniagaan dan lesen papan iklan yang telah tamat tempoh dengan segera;
ii. Mengemukakan permohonan lesen premis dan lesen papan iklan sekiranya masih belum memiliki lesen perniagaan yang sah; dan
iii. Mempamerkan lesen premis perniagaan yang masih berkuat kuasa di tempat yang mudah dilihat di premis masing-masing sepanjang waktu operasi perniagaan.
Pematuhan terhadap syarat pelesenan amat penting bagi memastikan setiap aktiviti perniagaan dijalankan secara sah, teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta peraturan yang sedang berkuat kuasa.
MBI akan melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa.
Mana-mana pengusaha atau pemilik perniagaan yang gagal mematuhi arahan serta syarat pelesenan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Justeru, semua pihak yang terlibat diminta mengambil tindakan segera bagi mengelakkan sebarang kesulitan dan tindakan penguatkuasaan.
Kerjasama serta komitmen semua pengusaha dan pemilik perniagaan dalam mematuhi peraturan pelesenan amat dihargai demi mewujudkan persekitaran perniagaan yang teratur, selamat dan kondusif di bandar raya Ipoh.