Ipoh, 26 Ogos 2026 – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar raya Ipoh akan ditutup dan dilencongkan bagi memberi laluan kepada Perarakan Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan Kali Ke-69 Tahun 2026 Peringkat Negeri Perak.
Sambutan berkenaan akan berlangsung pada 31 Ogos 2026 (Isnin), bermula jam 6.30 pagi, bertempat di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Ipoh.
Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh akan melaksanakan penutupan penuh serta lencongan jalan bagi memastikan kelancaran perarakan, keselamatan peserta dan orang ramai sepanjang program berlangsung.
Laluan perarakan melibatkan beberapa jalan utama termasuk Ipoh Padang, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Sultan Iskandar Shah, Jalan Tun Sambanthan (Little India), Jalan Tan Sri Tajudin Ali, Bulatan Bahagia (Medan Kidd), Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dan Jalan S.P. Seenivasagam.
Bagi acara raptai pada 28 Ogos 2026 (Jumaat), 29 Ogos 2026 (Sabtu) serta pada hari sambutan pada 31 Ogos 2026 (Isnin), beberapa penutupan dan lencongan jalan akan dilaksanakan seperti berikut:
1. Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab ditutup dan trafik dilencongkan ke Jalan Kompleks Islam.
2. Jalan St. John dilencongkan ke Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab menghala ke Jalan Kuala Kangsar.
3. Jalan S.P. Seenivasagam ditutup.
4. Jalan Sultan Yusof ditutup.
5. Jalan Dato Maharajalela ditutup.
6. Jalan Dato Sagor ditutup.
7. Jalan Tun Sambanthan ditutup dari persimpangan Jalan Bandar Timah.
8. Jalan Market ditutup dari persimpangan Jalan Bandar Timah.
9. Jalan Sultan Iskandar Shah ditutup dan trafik dilencongkan ke Jalan Bandar Timah.
10. Jalan Bandar Timah ke Jalan Koo Chong Kong (Little India) ditutup.
11. Persiaran Bukit Timah dilencongkan ke Jalan Sultan Yusof menghala ke Jalan Leong Boon Swee.
12. Jalan Bandar Timah dilencongkan ke Jalan Leong Boon Swee.
13. Jalan Leong Boon Swee dilencongkan ke Jalan Tun Sambanthan.
14. Jalan Lahat dilencongkan ke Jalan Tan Sri Tajudin Ali (Medan Kidd).
15. Jalan Abdul Razak menuju Bulatan Bahagia ditutup bermula di persimpangan lampu isyarat Jalan Gurdwara/Jalan Tun Perak.
16. Jalan Sultan Idris Shah ditutup sehingga Kompleks Yik Foong.
Penutupan dan lencongan jalan berkenaan dijangka bermula kira-kira jam 6.00 pagi sehingga acara selesai.
Selain itu, bermula 28 hingga 30 Ogos 2026, penutupan jalan di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab turut dilaksanakan bagi memberi laluan kepada raptai penuh Kawad Kawalan Kehormatan Utama, bermula jam 6.00 pagi sehingga selesai.
MBI menasihatkan pengguna jalan raya, khususnya warga Ipoh, supaya merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif serta mematuhi arahan anggota polis dan petugas trafik sepanjang tempoh penutupan dan lencongan jalan dilaksanakan.
Orang ramai juga disaran supaya mengelakkan kawasan yang terlibat sekiranya tidak mempunyai urusan penting bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
MBI memohon kerjasama dan kesabaran semua pengguna jalan raya serta memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul. Segala langkah yang dilaksanakan adalah bagi memastikan kelancaran, keselamatan dan kesempurnaan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Perak.
Marilah kita bersama-sama menyemarakkan semangat patriotisme dan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dengan penuh rasa bangga, tertib dan harmoni.