Majlis Bandaraya Ipoh akan menganjurkan Program Pesta Budaya Nusantara @ Ipoh 2023 & Pameran Kereta Klasik sempena Ulangtahun Bandaraya Ipoh ke-35 pada 10 Jun 2023 bertempat di Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Ia bertujuan untuk memeriahkan sambutan Tahun Melawat Ipoh 2023 melalui program Kesenian dan Kebudayaan masyarakat yang melibatkan gabungan persembahan dari Bandaraya Nanning, China dan Kota Medan, Indonesia serta Pihak Berkuasa Tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Seremban dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.
Terdapat juga penyertaan daripada Gema Warisan Budaya MBI, Kumpulan Gerakan Seni Alam, Ipoh dan Kumpulan Jas Dhol Bhangra, Ipoh.
Jualan makanan daripada Rohaizad Setia Trading Sdn Bhd yang menyajikan jualan makanan dan minuman viral untuk pengunjung akan bermula mulai 8 hingga 12 Jun 2023 dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 malam.
Antara aktiviti lain adalah Permainan Taman Tema Kanak-kanak Karosel, Rumah Hantu dan Petting Zoo.
Terdapat juga Pameran Kereta Klasik pada 10 Jun 2023 yang melibatkan 20 jenis kereta klasik jenama antarabangsa.
Program ini akan dijadikan acara tahunan bagi memeriahkan Sambutan Ulangtahun Bandaraya Ipoh.
Untuk makluman, pada 12 Jun 2023 pula, akan diadakan Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak dari jam 2.00 hingga 5.00 petang di Stadium Indera Mulia, Ipoh.
