1 September 2024 (AHAD) - Majlis Bandaraya Ipoh giat melaksanakan pelbagai usaha dan kempen kebersihan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu pembuangan sampah haram di seluruh kawasan operasinya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, YB Goh See Hua memandang serius isu ini dan telah melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif termasuk usaha pembasmian pembuangan sampah haram, menguar-uarkan notis pemakluman kompaun dan melakukan program turun padang di tempat aduan bermasalah.
Inisiatif Pengedaran Tong Sampah Beroda 120 liter Secara Percuma di Kawasan DUN Pasir Pinji Merangkumi Zon 14 (Pasir Pinji) Dan Zon 15 (Pasir Putih) Zon Ahli Majlis MBI ini dilihat serampang dua mata dalam usaha menangani isu sampah haram sekaligus menjaga kebersihan dan keindahan alam sekitar di bandaraya Ipoh seterusnya meningkatkan kualiti persekitaran yang bersih dalam merealisasikan hasrat menjadikan Ipoh bandaraya bersih, bestari dan sejahtera.
Majlis Bandaraya Ipoh amnya tidak mampu untuk menangani keseluruhan isu sampah haram secara bersendirian justeru kerjasama dan komitmen pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta orang ramai amat diperlukan bagi memastikan masalah pembuangan sampah haram dapat ditangani dengan bijak.
Untuk makluman semua, sejak program ini mula diperkenalkan pada tahun 2021 sehingga Ogos 2024, pihak MBI telah mengedarkan sebanyak 131,332 unit tong sampah beroda 120 liter secara percuma. Edaran setiap hujung minggu adalah mengikut giliran Zon Ahli Majlis. Bagi DUN Pasir Pinji pula sebanyak 1,250 unit tong sampah beroda 120 liter secara percuma akan diedarkan pada hari ini.
Inisiatif murni ini diharapkan menjadi pemangkin usahasama MBI dengan lain-lain agensi dalam merealisasikan hasrat menjadikan Ipoh bandaraya bersih dan sejahtera.
Pada hujung tahun 2020, terdapat sebanyak 1,672 lokasi `hot-spot’ sampah haram di keseluruhan kawasan pentadbiran Majlis. Mulai tahun 2021 lokasi sampah haram ini telah berjaya ditutup secara berperingkat dan kini hanya tinggal 120 sahaja “hot spot” lokasi sampah haram di seluruh kawasan pentadbiran Majlis.
Pencapaian tersebut adalah satu perkara yang signifikan dalam merealisasikan matlamat MBI untuk menjadikan Ipoh bandar raya yang bersih dan bestari.
Untuk makluman, sejumlah 48 program gotong-royong telah dijalankan di Bandaraya Ipoh setakat Ogos 2024 . Sebanyak 3,524 lokasi longgokan sampah haram telah dibersihkan sebanyak 3,279 kali. Kebanyakkan lokasi tersebut telah berulang kali dibersihkan. Selain itu, sebanyak 198 papan tanda ‘Larangan Membuang Sampah’ juga telah dipasang di lokasi-lokasi ‘hot-spot’ ini. Bagi tempoh yang sama juga, Majlis telah mengeluarkan sebanyak 862 tawaran kompaun yang berjumlah RM222,900.
MBI telah menjalankan pelbagai program dan usaha bagi menangani isu pembuangan sampah haram.
Untuk makluman, MBI mula memperkenalkan perkhidmatan kutipan sampah kebun dan pukal secara percuma mulai tahun 2021. Orang ramai boleh merujuk Portal Rasmi MBI di pautan
www.mbi.gov.my untuk jadual perkhidmatan sampah kebun & pukal MBI.
Sebanyak 20 lori terbuka dikhaskan untuk menjayakan perkhidmatan ini. Perkhidmatan ini berjalan dengan lancar dan tersusun mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Majlis Bandaraya Ipoh turut mengecam tindakan segelintir wargakota Ipoh yang gemar membuang sampah secara sesuka hati yang disifatkan tidak memiliki perasaan sayang dan prihatin terhadap bandaraya Ipoh hingga sanggup berkelakuan sebegitu. Tindakan segelintir warga kota yang tidak bertanggungjawab inilah yang telah mencalarkan imej wargakota Ipoh. Ia sekaligus menggagalkan usaha MBI untuk memupuk budaya “Ipoh Bestari Sejahtera" yang menjadi slogan MBI.
Wargakota Ipoh yang gemar membuang sampah haram sesuka hati di Bandaraya Ipoh akan dikenakan tindakan kompaun bernilai RM1,000 tanpa sebarang rayuan.
Pihak MBI telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merealisasikan matlamat menjadikan bandaraya Ipoh bersih, selamat dan bestari . Oleh itu, masyarakat dan pihak swasta hendaklah memainkan peranan yang lebih aktif dalam menjayakan misi ini .