Majlis Bandaraya Ipoh mengecam tindakan segelintir wargakota Ipoh yang gemar membuang sampah haram sesuka hati yang disifatkan tidak memiliki perasaan sayang dan prihatin terhadap bandaraya Ipoh hingga sanggup berkelakuan sebegitu.
Wargakota Ipoh yang gemar membuang sampah haram sesuka hati di Bandaraya Ipoh akan dikenakan tindakan tegas oleh Majlis Bandaraya Ipoh.
MBI akan mengeluarkan kompaun bernilai RM1000 tanpa sebarang rayuan kepada pembuang sampah haram itu di bawah Akta Jalan, Parit & Bangunan.
Tindakan segelintir warga kota yang tidak bertanggungjawab inilah yang telah mencalarkan imej wargakota Ipoh.
Ia sekaligus menggagalkan usaha MBI untuk memupuk budaya “Ipoh Bestari Sejahtera" yang menjadi slogan MBI.
Perbuatan begini seharusnya dihentikan segera kerana ia akan memberikan contoh tidak baik, malah sebagai wargakota Ipoh, kita mempunyai peranan dalam menjaga moral dan sivik.
Ia adalah sejajar dengan usaha berterusan MBI untuk mencapai hasrat menjadikan Ipoh Bandaraya Terbersih di Malaysia serta Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik di Malaysia.
Untuk makluman, dari 1 Januari hingga 31 Disember 2023, MBI telah membersihkan 120 lokasi longgokan sampah haram sebanyak 5,073 kali dan mengeluarkan sebanyak 1214 tawaran kompaun bernilai RM498,750.
MBI juga turut menjalankan 49 aktiviti gotong-royong serta memasang sebanyak 1,485 papan tanda kecil & 185 papan tanda besar “Dilarang Membuang Sampah” di sekitar Bandaraya Ipoh.
Tanggungjawab ini bukanlah terletak di bawah MBI semata-mata tetapi memerlukan penglibatan semua pihak.
Tindakan mengkompaun adalah tindakan terakhir setelah tindakan lain tidak diendahkan oleh wargakota Ipoh.
Semoga Bandaraya Ipoh akan mencapai hasrat menjadi Bandaraya Terbersih di Malaysia dan Bandaraya Bestari Sejahtera.