Aktiviti & Berita

DATUK BANDAR IPOH RASMI KEMPEN KITAR SEMULA MINYAK MASAK TERPAKAI PERINGKAT MBI

28 Julai 2023-Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah merasmikan Kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai Peringkat MBI di Medan Selera Dataran Dato' Sagor pagi tadi.

Ia turut dihadiri oleh Clr. Tuan Wong Kar Keat, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya, Puan Hajah Saidatul Akma binti Jamaludin, Pengarah Kanan (Kewangan) MBI, Ketua-Ketua Jabatan MBI, Wakil rakan strategik ekonomi kitaran dari Syarikat Biovisma Sdn. Bhd & Syarikat Tuck Soon Eco Resources (M) Sdn. Bhd dan Wakil daripada Perak Coffee Shop Keepers Association.

Dalam ucapannya, Datuk Bandar menyatakan ‘Circular Economy’ (C.E) juga dikenali sebagai Ekonomi Kitaran yang bertujuan memberi penekanan dalam mengembalikan sumber ke dalam sistem alam sekitar dan ekonomi melalui penggunaan semula sisa dan inisiatif pencegahan sisa. Dalam erti kata lain, segala sumber yang ada boleh diguna semula untuk menghasilkan produk yang lain.
Menurut beliau lagi, MBI telah menetapkan penandaaras iaitu Ipoh Bandar Raya Terbersih 2023 dan Ipoh Bandaraya Pintar Dan Rendah Karbon 2030.

Tujuan Pelaksanaan Kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh ini adalah untuk:-
i. Melaksanakan program Ekonomi Kitaran juga dikenali sebagai Waste To Wealth bagi merancakkan lagi ekonomi dan memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil dan industri kecil yang berkaitan dengan aktiviti kitar semula;
ii. Menjayakan VISI-Ipoh Bandar Wilayah Pintar Berteraskan Ekosistem Mampan Dan Bestari Sejahtera & MISI- Memperkasakan Pengurusan Bandar Secara Inklusif Ke Arah Bandar Raya Pintar, Rendah Karbon Dan Bestari Sejahtera Menjelang 2030. Ini selaras dengan komitmen negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45% menjelang tahun 2030;
iii. Memberi kesedaran kepada peniaga dan orang awam supaya tidak membuang minyak masak terpakai ke dalam longkang awam, disamping itu juga penjualan minyak masak terpakai yang dikumpul boleh mendatangkan hasil dengan menjual kepada syarikat kutipan minyak masak terpakai yang berlesen.
iv. Memastikan Garis Panduan Pemasangan Perangkap Minyak di premis makanan di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Tahun 2017 yang dikeluarkan oleh pihak KPKT dipatuhi. Garis panduan ini menetapkan syarat supaya semua premis makanan perlu menyediakan perangkap sisa minyak dan makanan;
v. Memberi kesedaran kepada pengusaha-pengusaha premis makanan kepentingan perangkap minyak dalam usaha mengatasi isu/masalah pencemaran sistem peparitan akibat daripada segelintir premis makanan yang tidak bertanggungajwab membuang minyak ke longkang menyebabkan kacauganggu bau dan masalah longkang tersumbat lantas, menjadi punca banjir kilat dan seterusnya menyukarkan pembersihan oleh kontraktor Majlis.

Melalui konsep ‘Bazar Ramadhan Mesra Alam’ pada tahun ini, MBI telah memperkenalkan aktiviti kutipan semula minyak masak terpakai di semua 22 lokasi tapak Bazar Ramadan untuk dijadikan biofuel. Ianya telah dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik MBI iaitu syarikat Biovisma Sdn. Bhd. dan syarikat Tuck Soon Sdn. Bhd yang dilantik setelah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pada 17 Mac 2023.

Jumlah kutipan minyak masak terpakai oleh kedua syarikat ini adalah sebanyak 1,601 kg dengan nilai RM 4, 482.00. Aktiviti ini telah dirancang untuk dikembangkan kepada semua pemilik premis restoran, kafe, peniaga pasar malam dan semua gerai-gerai milik majlis di sekitar Majlis Bandaraya Ipoh.

Di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh hampir 95% daripada 2926 premis makanan dan kafe telah mematuhi syarat pemasangan perangkap minyak. Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Majlis mendapati pengurusan minyak masak terpakai dan kaedah pemasangan, pembersihan dan penyenggaraan “grease trap” masih tidak sempurna dalam kalangan setengah premis makanan di kawasan Majlis Bandaraya Ipoh. Ini menjadi punca kepada kacauganggu bau dan masalah longkang tersumbat,banjir kilat di setengah lokasi serta menyukarkan aktiviti pembersihan oleh kontraktor majlis.

Sehingga 30 Jun 2023 sebanyak 525 premis telah diperiksa untuk pematuhan syarat perangkap minyak dan sebanyak 43 tawaran kompaun bernilai RM 10,600.00 telah dikeluarkan keatas premis yang gagal mematuhi syarat pemasangan perangkap minyak. Sebanyak 260 notis dan surat amaran berkaitan pemasangan, pembersihan dan penyelengaraan perangkap minyak juga telah dikeluarkan kepada pemilik premis makanan.

MBI menasihatkan dan turut memberi peringatan kepada semua pemilik premis makanan di sekitar MBI supaya:
i. Mematuhi syarat pemasangan perangkap minyak dengan sempurna, iaitu setiap perangkap minyak yang dipasang perlu dibersih dan diselenggara setiap hari mengikut jadual;
ii. Minyak masak yang terpakai tidak dibuang terus ke dalam tong sampah atau longkang awam tetapi hendaklah dikumpul dan boleh dijual kepada syarikat – syarikat kutipan minyak terpakai yang berlesen atau diiktiraf oleh MBI;
iii. Rekod pembersihan, penyelenggaran dan kutipan minyak hendaklah disimpan untuk diperiksa oleh Pegawai Pemeriksa Majlis.

Kempen ini juga diharap dapat memberi peringatan dan kesedaran kepada pemilik setiap premis makanan bahawa pemasangan perangkap minyak ‘grease trap’ adalah DIWAJIBKAN disetiap premis makan dan ianya perlu diselengggara pada setiap hari seperti yang dinyatakan di dalam syarat-syarat lesen premis perniagaan.

Semoga program ini akan menjadi titik tolak untuk mencapai hasrat menjadikan Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera dan Perak Sejahtera 2030.

363816878 658253982993792 5395759359331334073 N
363818020 658254176327106 8424861119007042400 N
363818755 658254269660430 881961061207206897 N
363818986 658254216327102 7580251158464285202 N
363819239 658253992993791 1543668204205016715 N
363823464 658254072993783 535358321601450473 N
mbir

Layari MBI Portal Radio  dan MBI Radio Facebook untuk info segmen DJ
ipohse
  • Majlis Bandaraya Ipoh, Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown 30450, Ipoh Perak Darul Ridzuan
  • 05-208 3333
  • 05-253 7396 / 05-208 3530
  • mbi[at]mbi[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Sesuai dipapar menggunakan IE versi 9 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 ke atas dan Google Chrome 13.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Kemaskini : 02/05/2025.
  • Jumlah Pelawat 5649130