23 April 2025 - Y.Bhg Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh telah merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-51 Koperasi Pekerja-Pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Berhad petang semalam.
Ia turut dihadiri oleh En. Muhamad Akmal bin Ibrahim, Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perak Wilayah Negeri dan En. Mahendran a/l Suppiah Raman, Pengerusi Koperasi Pekerja-pekerja MBI Berhad.
Berucap pada majlis berkenaan Y.Bhg Tuan Zamakhshari, Datuk Bandar Ipoh menyeru agar Koperasi MBI ini terus menjadi pelindung kepada kebajikan para anggota sama ada melalui tabung-tabung kebajikan atau perkhidmatan sokongan yang lain, bagi memastikan tiada anggota yang tercicir daripada perhatian koperasi.
Menurut beliau lagi, kekuatan sebenar sebuah koperasi bukan sekadar pada angka, tetapi pada rasa kebersamaan dan semangat kekeluargaan yang hidup dalam kalangan anggotanya.
Untuk maklumat, Koperasi MBI kini berada di kedudukan 116 koperasi terbaik daripada 16,000 di Malaysia dan ke-10 di negeri Perak. Modal anggota koperasi telah mencecah RM 24 juta dan aset pembiayaan mencapai RM 35 juta. Angka ini menunjukkan kepercayaan yang tinggi anggota kepada koperasi.
Dalam pada itu, bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-51 ini, Datuk Bandar turut mengumumkan berita baik buat ahli koperasi iaitu bayaran dividen atas modal yuran sebanyak 10% dan dividen atas modal syer sebanyak 10% dengan jumlah keseluruhan RM 2.42 juta.