27 Februari 2025 - 1700 warga MBI telah menyertai 'Executive Talk' bersama Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh di Pusat Konvensyen Ipoh pagi tadi.
Ia turut dihadiri oleh Clr. Tuan Wong Kar Keat, Ketua Whip Ahli Majlis, Ahli Majlis, Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya, Pengarah Kanan, Ketua Jabatan, pegawai dan anggota MBI.
Menurut Datuk Bandar, dalam usaha MBI untuk meneruskan kecemerlangan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada wargakota Ipoh, Fokus MBI pada tahun 2025 ini adalah:
1. Bandar Pelancongan Utama Negara;
2. Bandar Kesihatan bersandarkan konsep “White Economy”;
3. Memperhebatkan Ipoh sebagai “Smart Green City’ bertaraf ‘Asia’;
Menurut beliau lagi, Ipoh perlu terus menyerlah di pentas global. Selain menghadiri persidangan antarabangsa, gerak kerja juga perlu bersifat global. Ipoh telah mendapat liputan luas melalui beberapa pengiktirafan luar, seperti UN-Habitat dan UNESCO Creative Cities Network (UCCN). Namun, kejayaan ini hanyalah permulaan. Kini, Ipoh perlu bersinar lebih terang dengan memperkukuh kedudukan melalui penglibatan yang lebih aktif bersama agensi dunia seperti United Nations Capital Development Fund (UNCDF) dan United Nations Industrial Development Organization (UNIDO).
Melalui kerjasama ini, MBI berpeluang mengakses sumber pembiayaan, kepakaran teknikal, serta rangkaian antarabangsa yang dapat mempercepatkan pembangunan mampan Bandaraya Ipoh. UNCDF, misalnya, dapat membantu dalam inisiatif pembiayaan inovatif untuk projek pembangunan bandar, manakala UNIDO boleh menyokong transformasi industri tempatan agar lebih berdaya saing di peringkat global.
Pendekatan ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 17: Partnerships for the Goals, yang menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam mencapai pembangunan yang inklusif dan lestari. Dengan memperkukuh jaringan global, kita dapat mempercepatkan inovasi, berkongsi amalan terbaik, dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang serta mampan untuk semua.
Semua ini seiring dengan visi Ipoh sebagai sebuah bandar dinamik yang bukan sahaja berkembang pesat tetapi turut mengutamakan kesejahteraan penduduknya. Dengan semangat Ipoh Bestari Sejahtera, MBI akan memastikan pembangunan yang holistik dan berkualiti, menjadikan Ipoh bukan sahaja sebuah bandar bertaraf dunia tetapi juga sebuah bandar yang sejahtera untuk semua.
Warga MBI diharap dapat melakukan anjakan paradigma dalam proses kerja agar lebih efisien untuk memacu ke arah mencapai hasrat menjadikan Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera.
Semoga Program 'Executive Talk' ini akan menjadi platform untuk menjayakan semua perancangan yang telah dirancang oleh MBI.