28 November 2023- Seramai 102 peserta daripada 34 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan Innorace Ecopark@MBI yang diadakan pagi tadi.
Pertandingan yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Perak Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 2023 melibatkan penyertaan anggota MBI dari pelbagai unit, bahagian dan jabatan.
Program yang diuruskan oleh Bahagian Pengurusan Kualiti dan Penerbitan, Jabatan Perancangan Korporat dengan kerjasama Jabatan Penilaian dan Hartanah MBI telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Dato’ Rumaizi Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh di Dataran Bandaraya Ipoh.
Pertandingan yang mewajibkan para peserta menyelesaikan pelbagai tugasan yang mencabar dan menguji minda tersebut melibatkan lima ‘check point’ lokasi tarikan pelancong di sekitar bandar raya Ipoh.
Juara bakal memenangi wang tunai RM600.00, sijil dan piala, naib juara RM500.00, sijil beserta piala tempat ketiga RM400.00, sijil dan piala manakala hadiah saguhati bernilai RM100.00 pula kepada 10 pasukan yang berjaya.
Selain hadiah utama, para peserta yang berjaya menghasilkan tugasan tambahan iaitu ‘Vlog’ terbaik turut akan menerima wang tunai berjumlah RM150.00.
Acara penyampaian hadiah kepada pemenang akan diadakan pada 1 Disember 2023 ini sempena Majlis Executive Talk & Sambutan Hari Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Perak Peringkat MBI 2023 di Ipoh Convention Centre (ICC).