11 Ogos 2023-Pasukan bola sepak pegawai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang dikenali dengan MBI Cougars memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas menewaskan pasukan bola sepak pegawai Tenaga Nasional (PDR XZ FT) dalam aksi sengit persahabatan bola sepak hari ini.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Perak itu menyaksikan MBI berjaya mengetepikan saingan sengit pasukan lawan dengan keputusan 3-2.
Kedua-dua pasukan berjaya menunjukkan mutu permainan yang baik selain menyajikan saingan yang menghiburkan penyokong-penyokong yang hadir ke perlawanan ini.
Pasukan tuan rumah berjaya mendahului di babak pertama dengan jaringan 2-0 yang mana jaringan telah dilakukan oleh Muhammad Amirul Safwan dan Muhammad Aliff.
Pasukan TNB berjaya merapatkan jurang di awal babak kedua menerusi tandukan pemain berpengalaman, Shahrul Nizam Sofian. MBI berjaya mendahului dengan kelebihan dua jaringan sekali lagi menerusi tandukan Muhammad Aliff dalam situasi huru hara yang berlaku di hadapan gawang gol TNB yang berpunca dari sepakan percuma di sebelah kanan pintu gol.
TNB tidak berputus asa dalam memburu jaringan dan hasilnya Shahrul Nizam Sofian berjaya menambah gol kedua pasukan dan peribadi menerusi satu lambungan cantik ke dalam pintu gol.
Kedua-dua pasukan berterusan mempamerkan permainan yang bertenaga sehingga penghujung perlawanan dan keputusan kekal 3-2 yang memihak kepada MBI.
Hasil kemenangan tersebut, MBI telah berjaya merangkul Piala Bandar Raya Pintar (Ipoh Smart City Cup) yang diterima oleh kapten pasukan MBI merangkap Setiausaha Bandaraya, Encik Ahmad Munir bin Ishak.