9 Julai 2023 - Clr. Nurol Huda binti Ahmad Nator, Ahli Majlis MBI merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pendidikan MBI telah mewakili Datuk Bandar merasmikan Hari Koperasi SMK RPS pagi tadi.
Ia turut dihadiri oleh Puan Wiza Rozahrin binti Mohamad Radzi, Pengetua SMK Raja Perempuan Ipoh, Tuan Richard Ng, Presiden Lion Club, Encik M.Raman, Pengarah Kesihatan MBI, Barisan Pengurusan & Pentadbir SMK Raja Perempuan Ipoh, guru, ibu bapa dan pelajar SMK RPS.
Dalam zaman yang serba mencabar ini, modal insan bermutu tinggi merupakan satu keperluan untuk membentuk masyarakat madani. Penekanan ini perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak. Pencapaian akademik semata-mata tidak menjamin untuk murid-murid menjadi insan yang berjaya. Mereka memerlukan satu platform untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam bentuk latihan untuk mendapatkan pengalaman.
Koperasi sekolah merupakan wadah berkesan yang menawarkan peluang untuk murid-murid belajar berniaga, menjadi usahawan, mentadbir dan mengurus koperasi serta mendapat kemahiran-kemahiran insaniah lain yang tidak diajar dalam kelas. Malah, penglibatan mereka dalam aktiviti koperasi sekolah mampu memperkukuhkan jati diri seperti bersatu padu, tolerasi, dan tolong-menolong .
Program sebegini adalah sangat bagus diadakan kerana memberi pendedahan dan pengalaman kepada murid yang terlibat dalam aktiviti jual beli. Melalui pengalaman sedemikian sedikit sebanyak murid tersebut akan belajar sesuatu tentang keusahawanan. Daripada pengalaman itu nanti akan menjadi titik tolak permulaan ke arah menjadi usahawan.
Selain itu, program begini juga dapat memupuk bibit-bibit keusahawanan dan perniagaan dalam kalangan murid. Keperluan ini selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu melahirkan lebih ramai usahawan muda berjaya pada masa hadapan. Koperasi sekolah merupakan wahana paling tepat dalam hal ini. Penerapan dan pendedahan kepada budaya dan nilai-nilai keusahawanan merupakan satu proses pembelajaran yang dapat membuka ruang dan minda pelajar supaya menjadi lebih kreatif, inovatif dan berdaya maju.
Apabila dewasa kelak mereka mampu berdikari bekerja sendiri.Koperasi sekolah juga berupaya mendidik murid-murid mengenai pengurusan kewangan yang diharapkan dapat melahirkan generasi muda yang berhemah tinggi dalam menguruskan perbelanjaan.
Semoga aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada setiap tahun dan semoga ada dalam kalangan pelajar SMK RPS akan menjadi usahawan yang berjaya.