15 Mac 2025- Y.Bhg. Dato Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah mengadakan lawatan kerja ke Pusat Perubatan Sunway Ipoh, (Sunway Medical Centre) petang tadi.
Lawatan tersebut bertujuan untuk meninjau kemudahan fasiliti kesihatan dan kemudahan lain yang terdapat di Pusat Perubatan Sunway Ipoh.
Hadir sama pada program ini, Toh Amar Pahlawan Dato’ Ahmad Hariri bin Kamarudin, Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan MBI, Dato’ Lau Beng Long, Presiden Sunway Healthcare Group, Choy Wah Wei, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway Ipoh, Wong Wan Wooi, Pengarah Eksekutif Sunway Property Ipoh, Ahli Majlis, Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya, Pengarah Kanan dan ketua jabatan MBI.
Berucap pada majlis berkenaan, Datuk Bandar menzahirkan ucapan tahniah terhadap inisiatif yang dilakukan oleh pihak Sunway serta amat mengalu-alukan kemudahan penjagaan kesihatan yang canggih dan seterusnya akan memberi manfaat kepada warga bandar raya Ipoh.
Pembangunan Pusat Perubatan Sunway Ipoh ini sudah pastinya memberi faedah kepada masyarakat antaranya menyediakan akses kepada rawatan perubatan bertaraf dunia, menyediakan kepakaran perubatan yang berkualiti tinggi, meningkatkan taraf penjagaan perubatan di bandar dan mengurangkan keperluan penduduk mendapatkan rawatan di luar Ipoh.
Inisiatif ini selari dengan visi untuk menyediakan kemudahan berkualiti dan perkhidmatan yang meningkatkan taraf hidup wargakota Ipoh.
Pusat Perubatan Sunway Ipoh yang dibina ditapak seluas 3 ekar, dengan melibatkan peruntukkan sebanyak RM400 juta akan mula dibuka pada 2 April 2025.