8 Ogos 2023-Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah merasmikan Welcoming Dinner' meraikan delegasi Konferens Pakar Pergigian Restoratif Nasional Tahun 2023 di Tingkat Valley malam tadi.
Ia turut dihadiri oleh Dr. Salleh bin Zakaria, Timbalan Pengarah Kesihatan Pergigian Negeri, Dr Roshima binti Mohd Sharif, Ketua Perkhidmatan Kepakaran Pergigian Restoratif Kebangsaan, Profesor Dr Norliza bt Ibrahim, Profesor/Senior Consultant dari Jabatan Radiologi Oral dan Maxillofasial, Universiti Malaya & Dr Afzan Adilah bt Ayoub, Pakar Klinikal dari Jabatan Endodontik UITM, Dr. Rosenani binti Mohd Noordin, Ketua Pakar restoratif Pergigian Negeri Perak, delegasi kursus dan Pakar-pakar Pergigian Restoratif Malaysia.
Kursus Endodontik Peringkat Kebangsaan tahun 2023 yang mengfokuskan kepada Rawatan Endodontik Berkompleksiti Tinggi dengan tema “Never Lost in Endodontic Challenges” ini dianjurkan bersama oleh Program Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kepakaran Pergigian Restoratif.
Bandaraya Ipoh telah dipilih sebagai tuan rumah setelah beberapa tahun konferens ini tidak diadakan akibat pandemik Covid19.
Tahun 2023 merupakan Tahun Melawat Ipoh yang mana pelbagai aktiviti pelancongan sekitar Bandaraya Ipoh telah diatur dan berjalan dengan rancak di sepanjang tahun.
Majlis Bandaraya Ipoh telah memperkenalkan konsep 3H iaitu, Hipster, Heritage dan Health Tourism sebagai tema atau konsep pelancongan yang disemarakkan di sekitar Bandaraya Ipoh. Oleh itu, kehadiran pakar-pakar pergigian restoratif dari seluruh negara ini amat bersesuaian dengan tema Ipoh sebagai Bandaraya yang mengfokuskan kepada Health Tourism.
Dalam ucapannya, Datuk Bandar berharap sepanjang konferens ini, semua delegasi berpeluang untuk melihat keindahan Bandaraya Ipoh di samping mengenali Bandaraya Ipoh dan warganya dengan lebih dekat lagi.
Semoga kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri di Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Perak bersama Majlis Bandaraya Ipoh akan terus diperkukuhkan demi kebaikan warga Bandaraya Ipoh.