8 Oktober 2024 - Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk bandar Ipoh telah mewakili MBI menerima Anugerah Scroll of Honour UN-Habitat dalam acara bertemakan "Beyond the 2030 Agenda" di Queretaro, Mexico bagi Program Ekonomi Donat Ipoh. Pada masa yang sama, Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud turut dijemput sebagai salah seorang ahli panel dalam majlis tersebut.
Program Ekonomi Donat Ipoh, berdasarkan sembilan prinsip DEAL, telah memenangi Anugerah Scroll of Honour UN-Habitat 2024 pada 27 Ogos 2024. Anugerah ini mengiktiraf usaha Ipoh dalam menjadi sebuah "Bandar Donut" yang regeneratif, berfokus kepada kesihatan, alam sekitar, dan pembangunan mampan. Sebanyak 5 penerima anugerah dari seluruh dunia bagi tahun 2024.
Sebanyak 5 penerima anugerah dari seluruh dunia bagi tahun 2024 iaitu Ville de Rabat, Kingdom of Morocco, Alcaldía de Santiago de Cali, Cali, Colombia, Majlis Bandaraya Ipoh, Ipoh Perak, Malaysia, Allen Kong, Ocean Grove, Australia dan David Satterthwaite, London, United Kingdom.
Untuk makluman, Program Ipoh Bandar Ekonomi Donat telah dilancarkan pada Mac 2023 dengan geran daripada Yayasan Hasanah. Projek ini adalah kerjasama antara Pusat Kesihatan Planetari Sunway Universiti (SCPH), Institut Darul Ridzuan (IDR), People of Remarkable Talent (PORT), dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Kepentingan pencapaian ini terletak bukan sahaja pada anugerah itu sendiri, tetapi dalam pengiktirafan komitmen bersama untuk mengubah Ipoh menjadi sebuah bandar yang mampan, inklusif, dan berdaya tahan. Ia mencerminkan kesan mendalam dalam menerapkan model Ekonomi Donat, yang mengintegrasikan dimensi ekonomi, sosial, dan alam sekitar untuk mencapai laluan pembangunan yang seimbang dan mampan. Pencapaian ini adalah bukti bahawa bandar-bandar seperti Ipoh, apabila dibimbing oleh rangka kerja inovatif, mampu berkembang dalam batas ekologi sambil meningkatkan kesejahteraan komuniti mereka. MBI berhasrat untuk terus berusaha dalam menyelaraskan pembangunan dengan had ekologi sambil memperkukuhkan asas sosial komuniti Ipoh. MBI komited untuk memajukan usaha ini, memanfaatkan prinsip Ekonomi Donat, untuk mencipta masa depan yang lebih hijau dan inklusif.
Selaras dengan matlamat FLAGSHIP 15 dalam Rancangan Perak Sejahtera 2030, MBI akan memperkukuhkan komitmen untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk membina Ipoh yang berdaya tahan, sihat, dan mampan. Ipoh berhasrat untuk menjadi contoh perintis bagi bandar-bandar lain di Malaysia dan ASEAN dalam mengadaptasi model pembangunan bandar yang regeneratif dan mampan.
Menurut Datuk Bandar Ipoh, pengiktirafan yang diterima ini adalah satu pencapaian penting, tetapi ia bukanlah penamat. Melalui Pelan Tindakan Ekonomi Donut Ipoh, saya berhasrat untuk memperluaskan model ini ke semua daerah di negeri Perak untuk dijadikan contoh kepada bandar-bandar lain di Malaysia dan Asia.
Beliau berharap semua pihak agar bekerjasama untuk membina masa depan yang berdaya tahan, inklusif, dan Lestari serta menjadikan Ipoh sebagai peneraju pembangunan lestari di rantau ini.
Saksikan: Opening Ceremony & Scroll of Honour Award Ceremony - World Habitat Day 2024 (Querétaro, Mexico)