12 September 2024 - Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh Ipoh telah merasmikan Taklimat Teknikal Pengurusan Trafik Semasa Kerja-Kerja Pembinaan/Penyelenggaraan Jalan di Pusat Konvensyen Ipoh pagi tadi.
Ia turut dihadiri oleh Y.Bhg. Dato' Mazlan bin Abd. Rahman, Ketua WHIP Ahli Majlis, Ahli Majlis, Tuan A’zman bin Mohd Harun,
Pengarah Kanan-Teknikal, Tuan Ir. Ts Hj. Arif bin Mohd Zainudin, Pengarah Kerja & Bangunan MBI merangkap Pengerusi, Ahli Persatuan Pegawai Kanan MBI (PADUAN), Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai MBI.
Taklimat selama dua hari ini dikendalikan oleh Encik Muhamad Rais Ismail dari MRI Murai Resources.
Pelan Pengurusan Trafik (Traffic Management Plan, TMP) didefinisikan sebagai perancangan bagi proses mengawal atau memudahkan pergerakan kenderaan yang melibatkan beberapa proses tertentu seperti perancangan, reka bentuk geometri dan operasi lalu lintas semasa kerja-kerja penyelengaran dan pembinaan di atas jalan raya.
Pelan berkenaan disediakan sebelum, kerja-kerja hendak dilaksanakan bagi memastikan kawalan lalu lintas atau trafik yang lebih baik kepada kenderaan-kenderaan dan pejalan kaki, meminimumkan kesesakan lalu lintas, dan juga memastikan keselamatan pekerja di tapak.
Pelan yang dicadangkan perlu dilengkapi dengan jenis dan skema warna papan tanda, kedudukan susun atur kon keselamatan dan dinding penghadang keselamatan, serta kaedah penutupan jalan, seperti yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa.
Pengurusan trafik merupakan cara bagaimana untuk menggunakan jalan-jalan yang sedia ada sebaik mungkin dengan menguruskan kesesakan pada masa kini dan yang dijangkakan. Tujuan pengurusan trafik adalah seperti berikut:
i. Mengawal kenderaan yang tidak membuat pergerakkan hingga menghalang lalulintas yang bergerak;
ii. Mengawal lalulintas di jalan persendirian, lorong-lorong perkhidmatan yang termasuk jalan susur;
iii. Menguruskan kenderaan yang bergerak bagi mengurangkan konflik pergerakan lalulintas;
iv. Mengenalpasti jumlah dan jenis-jenis tanda lalulintas yang sesuai sama ada atas jalan raya atau tempat letak kereta;
v. Mengenalpasti tanah-tanah terbiar atau ruang yang sesuai untuk dijadikan ruang letak kereta secara tetap atau sementara;
vi. Mengurus dan mengawal tempat letak kereta;
vii. Mengurangkan konflik atau pertembungan antara kenderaan dan pejalan kaki;
viii. Meminimakan kemalangan dan kesesakan berkenaan dengan lalulintas.
Di dalam industri pembinaan, kerja-kerja yang dijalankan di atas jalan raya atau berhampiran dengan jalan, pemandu akan berhadapan dengan trafik yang berubah dan tidak dijangka. Perubahan ini mungkin berbahaya kepada pengguna jalan raya, pekerja dan pejalan kaki melainkan langkah keselamatan dan prosedur kerja dilakukan dengan betul.
Pengguna jalan raya kemungkinan tidak dapat membezakan keadaan tapak bina dan zon kerja yang dilaksanakan. Oleh itu, langkah kawalan kawalan lalu lintas yang betul amat dititik beratkan untuk menjamin keselamatan pengguna dan pekerja.
Peringkat pembinaan adalah diputuskan semasa peringkat perancangan dan perlu dikaji semula untuk memahami tahap kesukaran, tempoh kerja-kerja dan rintangan-rintangan yang berpotensi. Perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian terperinci adalah seperti berikut:
i. Peraturan dan batasan yang sedia ada di tapak pembinaan;
ii. Lokasi tapak (sama ada di jalan, bahu jalan atau cerun);
iii. Bilangan lorong jalan yang diperlukan untuk kerja-kerja jalan raya;
iv. Halangan semasa kerja-kerja jalan raya seperti kerja-kerja perpaipan, perparitan dan lain-lain;
v. Jarak maksimum yang dibenarkan untuk kawasan kerja;
vi. Keperluan lain untuk lalu lintas biasa.
Pelan pengurusan lalu lintas yang berkesan ia mudah dicapai dengan pertimbangan pelbagai faktor yang akan mempengaruhi pengurusan lalu lintas di kawasan pembinaan. Faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan adalah penambahan saiz jalan raya, potensi masalah tapak pembinaan, ketidaktentuan kadar kerja, dan tempoh pengalaman seorang perancang pengurusan lalu lintas.
Pengurusan lalu lintas hendaklah dirancang dengan baik supaya keseluruhan tahap keselamatan dan produktiviti kerja dapat dipertingkatkan; seterusnya, memudahkan kerja-kerja tersebuyt diselesaikan dalam jangkaan waktu, kos dan kualiti yang ditentukan.
Semoga program ini akan memberi satu impak yang positif terhadap pelan pengurusan lalu lintas yang mantap.