27 Ogos 2023-Program Ipoh Low Carbon Day (ILCD) bulan Ogos 2023 adalah bertemakan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 iaitu Malaysia MADANI, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.
Penetapan tema ini diharap dapat memberi semangat perpaduan dan nasionalisme bagi menyatukan kita sebagai rakyat yang berbilang kaum dan budaya.
Acara kemuncak ILCD bulan ini ialah acara Perak Breastfeeding Fun Run yang dianjurkan oleh Malaysian Breastfeeding Peer Councelor Association (MBPCA).
Acara yang berlangsung dengan jarak larian sejauh 10 km dan 5 km ini telah disempurnakan pelepasannya oleh YB Puan Sandrea Ng, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak.
Ia turut dihadiri oleh Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh.
Selain itu, banyak aktiviti dan acara menarik turut diadakan seperti berjogging, berbasikal, berjalan kaki, kasut roda, papan selaju(skateboard), senamrobik, pemeriksaan kesihatan, kempen kesedaran kesihatan, kempen kemanusiaan, kempen 3R, program hari bersama pelanggan dan permainan menguji minda untuk kanak-kanak.
Program ini juga diharap akan memberi galakan kepada masyarakat untuk menyertai aktiviti sosial dan seterusnya dapat menyalurkan ilmu bermanfaat melalui contoh dan permudahcara yang diberikan oleh petugas setiap booth. Sebagai contoh, cara-cara mengkitar semula minyak masak terpakai oleh Persatuan Gema Perak, membuat jahitan dan cenderahati dari barangan terbuang, cara mengenali ubat dan hasil-hasil seni kraftangan dari Persatuan SELAWA, Day Break dan Simpley Handmade Craft.
Semoga program ini akan memeriahkan lagi Tahun Melawat Ipoh 2023.