Ipoh, 25 Oktober 2026 – Ipoh Low Carbon Day (ILCD) Siri Ke-89 berlangsung meriah menerusi penganjuran program Yayasan Ipoh Colourbloom Fun Run yang menghimpunkan penyertaan kira-kira 1,000 peserta.
Program anjuran bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Yayasan Ipoh ini mencerminkan komitmen berterusan dalam menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dan kelestarian persekitaran.
Bertemakan “Kecergasan Dalam Persekitaran Sihat”, larian sejauh lima kilometer (5KM) itu bertujuan memupuk budaya hidup aktif dalam kalangan warga kota, selaras dengan aspirasi Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2030 yang menekankan aspek pencegahan penyakit, penjagaan kesihatan kendiri dan penglibatan komuniti secara menyeluruh.
Berlangsung di Dataran Bandaraya Ipoh, program ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan, termasuk pameran oleh agensi kerajaan dan swasta, saringan kesihatan serta gerai jualan usahawan tempatan.
Penganjuran ILCD Siri Ke-89 diharap dapat terus menyemarakkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan gaya hidup sihat, di samping memperkukuh usaha menjadikan Ipoh sebuah bandar raya yang lebih sihat, lestari dan sejahtera untuk semua.