Ipoh, 24 Oktober 2026 – Simposium Muzik Ipoh 2026 membuka tirai penganjurannya dengan majlis perasmian yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), semalam.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato’ Khairudin bin Abu Hanipah, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak.
Hadir sama, YBhg. Clr. Dato’ Haji Mazlan bin Abd Rahman, Ketua Whip Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), yang mewakili Datuk Bandar Ipoh; YBrs. TPr. Dr. Zulqarnain bin Mohamad, Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan merangkap Ahli Lembaga Pengarah People of Remarkable Talents (PORT); serta YBrs. Puan Norhanim binti Dato’ Mohamed Khairuddin, Pengurus Besar PORT.
Memasuki edisi kelapan, simposium ini mengangkat tema “Muzik Rakyat: Dari Tradisi Desa ke Pentas Dunia”sebagai wadah untuk mengetengahkan warisan muzik rakyat serta memperluas apresiasi terhadap seni dan budaya tempatan.
Berlangsung selama tiga hari, bermula 23 Oktober 2026 di ICC, simposium ini menampilkan pelbagai pengisian menarik, termasuk pameran, forum, bengkel muzik dan Konsert Pesta Budaya Nusantara.