Di bawah peruntukan projek-projek pembangunan KPKT bagi tahun 2024, sebanyak 107 projek melibatkan peruntukan RM168.7 juta telah dilaksanakan di Parlimen Tambun. Parlimen Tambun telah menerima 55 projek di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan bernilai RM17.02 juta.
Dalam bidang perumahan, KPKT tetap komited untuk menyediakan rumah mampu milik bagi rakyat Tambun dengan peruntukan RM149.21 juta untuk Program Residensi Rakyat (PRR) Tambun dan RM567,948.50 bagi tujuh (7) projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Bagi Parlimen Tambun juga, KPKT melalui Bahagian Kesejahteraan Komuniti dan Bahagian Kampung Baru Cina telah melaksanakan 34 projek baik pulih dan pembinaan baharu rumah dengan kos sebanyak RM734,640.00. Selain itu, KPKT turut menaik taraf infrastruktur awam di kawasan Kampung Baru Cina dengan peruntukan sebanyak RM1.71 juta yang merangkumi 10 projek mengenai kerja-kerja menurap semula jalan dan menaik taraf taman rekreasi.
Menurut YB KM, “KPKT memberikan fokus dan tumpuan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat. Kejayaan KPKT merangkul Anugerah Pembangunan Negara 2024 membuktikan komitmen tinggi KPKT dalam memastikan projek-projek pembangunan yang dirancang dapat disiapkan dan memberi manfaat kepada golongan yang layak. Semua golongan akan mendapat manfaat sepenuhnya. Tiada golongan rakyat yang akan dipinggirkan.”
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan & Pembangunan Koridor, YB Loh Sze Yee; Timbalan Ketua Setiausaha KPKT (Kemampanan dan Perancangan Strategik), YBhg. Datuk Saidatu Akhma binti Hassan; Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, YBhg. Dato Mohd Fádzli bin Mohd Kenali; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Ipoh, Dato’ Haji Rumaizi bin Baharin @ Md.Daud; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Perak (ADUN); barisan pengurusan tertinggi KPKT; Ahli Majlis MBI dan ketua jabatan peringkat persekutuan dan negeri.
Kerajaan MADANI melalui KPKT komited untuk terus mengekalkan kecemerlangan dan melaksanakan projek-projek pembangunan berimpak tinggi demi kecemerlangan negara dan kesejahteraan rakyat. Kejayaan besar yang diraih pada tahun 2024 ini akan menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga KPKT untuk memberikan perkhidmatan terbaik di tahun 2025.