IPOH, 10 MAC 2024 - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menganjurkan Majlis Pelancaran Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) : Karnival Komuniti PPR @ Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh, Perak. Majlis ini disempurnakan oleh YB Tuan Nga Kor Ming (YBKM), Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertempat di Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh.
Objektif PKKB adalah untuk menyebar luas manfaat dari sudut pengukuhan modal insan yang lebih mampan melalui pelaksanaan program-program komuniti bandar di seluruh negara. Justeru bagi merealisasikan insiatif ini, 5 matlamat bagi PKKB telah digariskan iaitu :
1. SWCorp mensasarkan sebanyak 70% premis di 17 PPR melaksanakan Program Komuniti Sifar Sisa (KOSIS) menjelang 2025;
2. Sasaran kadar kitar semula sebanyak 40% menjelang 2025;
3. Menjadikan Pusat KOSIS sebagai hab mini program kesedaran kepada KRT dan persatuan penduduk setempat;
4. Meningkatkan pendapatan golongan B40;
5. Mewujudkan pembangunan yang lebih seimbang khususnya terhadap alam sekitar dan kesaksamaan sosial.
YBKM mengumumkan sepanjang pelaksanaan Program KOSIS dari tahun 2020 sehingga 2023 di 17 PPR sebanyak 461,685.64kg barangan kitar semula bernilai RM138,505.00 telah berjaya dikumpul dan dijual. Manakala sebanyak 51,496.98kg minyak masak terpakai bernilai RM144,188.00 telah berjaya dikumpul dan dijual.
Pelaksanaan inisiatif Pusat KOSIS di PPR Rumah Pangsa, Jalan Hospital Ipoh, Perak telah diperkenalkan dan mula beroperasi pada 20 Mac 2020 dengan penglibatan 283 unit atau 48.05% premis berpenghuni. Berdasarkan rekod dari tahun 2020 hingga Disember 2023 sebanyak 33,171.26kg barang kitar semula, 4,589.70kg minyak masak dan 6,225.40kg sisa makanan telah direkodkan dengan nilai jualan sejumlah RM23,558.60 sepanjang tempoh pelaksanaan program ini. Di samping itu, sebuah kebun komuniti juga telah diwujudkan bersebelahan Pusat KOSIS bagi membolehkan komuniti mengusaha dan menjual hasil tanaman mereka.
Melalui Program Kebun Komuniti ini, hasil tuaian yang direkodkan adalah sebanyak 351.5kg dengan nilai jualan sejumlah RM1,684.80 dan penjualan baja kompos sebanyak 74kg dengan nilai jualan sejumlah RM370.00. Ini merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan dan menunjukkan tahap kesedaran dan kesanggupan penduduk di PPR ini untuk melaksanakan aktiviti kitar semula makin mendapat sambutan.
YBKM turut mengumumkan Kementeriannya telah menubuhkan Pusat Pandu Lalu Kitar Semula atau Drive Thru Recycling Centre (DTRC) KOSIS yang pertama di Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh, Perak. Inisiatif ini merupakan usaha kementerian untuk mewujudkan komuniti yang lebih lestari, berkonsepkan mesra pengguna, bertujuan untuk memudahkan komuniti setempat untuk menghantar sisa kitar semula yang telah diasingkan dari rumah masing-masing.
Beliau turut memaklumkan bahawa SWCorp akan membuat kajian untuk mengenalpasti kesesuaian bagi menyediakan kemudahan DTRC di 16 buah Pusat KOSIS yang lain. Sehingga kini, sebanyak 104 DTRC telah berjaya diwujudkan di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 74 unit di negeri-negeri menerima pakai Akta 672, manakala 30 unit negeri-negeri belum menerima pakai Akta 672.
YBKM menambah bahawa Pusat KOSIS Ipoh ini akan dijadikan sebagai Hab Mini Komuniti Sifar Sisa. Pusat ini akan menjadi tempat rujukan utama oleh Persatuan Penduduk atau Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan agensi setempat dalam usaha mereka untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti bermanfaat kepada komuniti, terutamanya dalam pengamalan kebersihan dan kitar semula.
KPKT dan SWCorp telah mengatur hala tuju Program KOSIS untuk meningkatkan penglibatan dan keterlibatan komuniti setempat dalam menjaga dan menguruskan pusat KOSIS dengan lebih berkesan. Pusat KOSIS PPR Rumah Pangsa ini dipilih sebagai Pusat KOSIS pertama yang akan diserahkan pengurusannya kepada Persatuan Penduduk pada tahun ini. Penyerahan Pusat-pusat KOSIS yang lain kepada komuniti dan Persatuan Penduduk atau JMC akan diselaraskan secara berperingkat mulai tahun 2024. Setelah diserahkan kepada JMB atau Persatuan Penduduk, Pusat KOSIS akan diuruskan secara swadaya oleh JMB atau Persatuan penduduk dan akan dipantau oleh SWCorp secara berkala bagi memastikan aktiviti kitar semula ini berjalan lancar selaras dengan hasrat Kerajaan.
Beliau berkata lagi, “SWCorp akan menyerahkan pengurusan Pusat KOSIS kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Persatuan Penduduk setempat setelah tahap kesedaran dan penglibatan komuniti dalam aspek kitar semula ini mencapai tahap yang tinggi”.
Turut hadir sama menjayakan program ini adalah YBhg. Datuk Saidatu Akhma binti Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan) KPKT, Encik Hee Loy Sian, Pengerusi SWCorp; YBhg. Dato’ Ahmad Husaini bin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp; YBhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh dan Encik Mohamed Akmal bin Dahalan, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak.