14 Disember 2023 - Setiausaha Bandaraya, Tuan Ahmad Munir bin Ishak telah mengetuai delegasi pegawai-pegawai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk satu kunjungan hormat ke Hatyai City Municipality (HCM).
Delegasi MBI telah disambut oleh Timbalan Datuk Bandar Hatyai, Assoc. Prof. Dr. Wichai Kanchanasuwon, Tuan Sumrit Boonrat dan Tuan Armad Ben-arlee serta Ketua Jabatan dan pegawai-pegawai Hatyai City Municipality (HCM).
Tuan Ahmad Munir bin Ishak dan delegasi MBI telah diberikan penerangan berkaitan HCM serta tayangan slaid mengenai bandar pintar Hatyai yang sedang direncanakan dan ini adalah selaras dengan visi dan misi MBI iaitu menuju Ipoh Bandar Raya Pintar Dan Rendah Karbon 2030.
Lawatan selama 3 hari ini adalah bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman secara lebih berkesan melalui perkongsian amalan terbaik yang dilaksanakan oleh pengurusan kedua-dua bandar raya. Hubungan sedia ada yang telah terjalin dapat diperkukuhkan dalam mempromosikan persefahaman dan persahabatan melalui sektor ekonomi, perdagangan, sukan, kesihatan dan budaya.
Delegasi MBI kemudian memenuhi tentatif yang telah disediakan oleh HCM iaitu jamuan makan tengah hari di Yannaty Hotel sebelum dibawa melawat Hatyai Chivasuk Health Promotion Centre di Hatyai Municipality Park iaitu sebuah pusat kesihatan yang mempromosikan rawatan moden dan tradisional, khidmat nasihat nutrisi, terapi dan pelbagai rawatan kesihatan.
Delegasi seterusnya dibawa menikmati pemandangan yang indah di puncak bukit Hatyai View Point sebelum mengakhiri kunjungan hormat ini dengan mengunjungi Central Mosque of Songkhla Province yang turut dikenali dengan nama Taj Mahal Songkhla iaitu sebuah pusat pentadbiran hal ehwal berkaitan agama Islam.
Lawatan kerja ke Hatyai City Municipality (HCM) ini menjadi medan dalam mengeratkan huhungan dua hala di antara MBI dan HCM yang telah terjalin sekian lama.
Delegasi yang disertai oleh 24 pegawai dan anggota MBI turut melibatkan Pengarah Kanan (Teknikal), En. A'zman bin Mohd Harun, Pengarah Perbendaharaan, En. Mohd Syazlan bin Mohd Isa Suffian dan Pengarah Kerja dan Bangunan, En. Arif bin Mohd Zainudin.