13 Februari 2025 – Majlis Bandaraya Ipoh telah menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Rangkaian Bandaraya Kreatif UNESCO Songkhla yang diketuai oleh Encik Wanchai Parinyasiri, Datuk Bandar Songkhla. Antara tetamu kehormat yang hadir dalam majlis ini ialah Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh, Dato’ Ahmad Hariri bin Kamarudin, Ahli Majlis, wakil Focal Point Bandaraya Kreatif Ipoh, Cik Nathalie Henry, serta Encik Syed Zarul Hisham dari People Of Remarkable Talent (PORT).
Majlis ini diadakan bagi meraikan semangat kreativiti, kerjasama dan inovasi yang menjadi teras bagi Rangkaian Bandaraya Kreatif UNESCO (UNESCO Creative Cities Network ). Melalui komitmen bersama, lawatan ini menekankan kepentingan budaya bukanlah sekadar sebagai sumber hiburan, tetapi juga sebagai landasan utama dalam pembangunan komuniti yang inklusif, dinamik dan berdaya tahan.
Perbincangan utama dalam majlis ini memfokuskan kepada usaha berterusan setiap bandaraya yang diiktiraf UNESCO untuk bekerjasama dalam membina budaya dan kreativiti yang berkekalan. Delegasi dari UCCN Songkhla juga turut berkongsi pandangan dan cadangan mengenai strategi, dasar serta cadangan untuk membangunkan perkongsian yang memberi impak positif untuk masa depan.
Diharapkan lawatan ini dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara Majlis Bandaraya Ipoh dan Bandaraya Kreatif Songkhla, serta membuka ruang untuk kerjasama lebih erat dalam projek-projek pembangunan bersama pada masa akan datang.