13 Oktober 2023-Lebih 100 media dan 8 rakan strategik MBI telah diraikan dalam Majlis Ramah Mesra Media bersama Datuk Bandar Ipoh di Qing Xing Ling Leisure & Cultural Village petang tadi.
Ia turut dihadiri oleh Pengarah & Pengurus Qing Xing Ling Leisure & Cultural Village, Encik Cheng Swee Kiat dan Encik Beh Tek Lee, Ahli Majlis MBI, Setiausaha Bandaraya, Pengarah Kanan dan Ketua Jabatan MBI.
MBI dan pihak Qing Xing Ling Leisure & Cultural Village telah bekerjasama menganjurkan program ini yang menggambarkan hubungan erat antara MBI dengan rakan strategik dalam usaha menghargai peranan media dalam pembangunan Bandaraya Ipoh ke arah Bandaraya Bestari Sejahtera.
Dalam ucapannya, Datuk Bandar menyatakan beliau sememangnya menanti peluang keemasan ini untuk beramah mesra dan mengenali pihak media secara lebih dekat dalam suasana yang lebih santai serta mengharapkan majlis seumpama ini untuk memupuk kerjasama yang lebih erat diantara pihak pengurusan MBI dengan pengamal media untuk kepentingan wargakota secara menyeluruh.
Belaiu juga amat kagum dengan rakan media di Bandaraya Ipoh khususnya dan negeri Perak amnya kerana telah melaksanakan tugas mengikut amalan etika kewartawanan yang baik. Ia telah banyak membantu MBI menjelaskan polisi dan tindakan terkini yang dilaksana atau dirancang. Wargakota juga dapat memberikan pendapat dan aduan terus secara terbuka ke pihak berwajib. Begitu juga dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan sektor swasta yang memberikan sumbangan dan melaksanakan program CSR atau Tanggunjawab Sosial Koporat akan juga mendapat publisiti meluas apabila memberikan sumbangan menjayakan program kemasyarakatan. Dengan cara ini, media bukan sahaja akan menjadi rakan strategik kepada MBI semata-mata tetapi kepada semua yang sama-sama memajukan Bandaraya Ipoh yang kita sayangi ini.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Media Massa di Bandaraya Ipoh khususnya dan negeri Perak amnya yang telah banyak mengeluarkan kenyataan-kenyataan seimbang dan positif tentang Bandaraya Ipoh dalam akhbar-akhbar, radio dan juga di TV.
Pada masa yang sama, 8 rakan strategik MBI yang telah banyak membantu menyumbangkan wang, barangan keperluan, pandangan serta idea dalam usaha membantu wargakota Ipoh yang memerlukan melalui Program MBI Prihatin turut diberikan sijil penghargaan iaitu Qing Ling Leisure & Cultural Village, Chang Jiang, Pasaraya Econsave, Kuala Lumpur Kepong Berhad, Navira Meditech Sdn Bhd, Sunway Lost World of Tambun, Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak dan Persatuan Peengamal Media Perak.
Program MBI Prihatin ini telah dilaksanakan sejak PKP lagi melalui kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, NGO dan pihak swasta dalam usaha membantu warga MBI dan wargakota Ipoh dari pelbagai lapisan masyarakat meringankan beban kehidupan mereka.
Lebih RM2 juta telah dibelanjakan melalui program MBI Prihatin ini untuk membantu wargakota Ipoh yang memerlukan serta meneruskan kehidupan ke arah yang lebih baik.
Semoga lebih banyak pihak-pihak swasta mengikuti jejak langkah rakan-rakan strategik MBI ini serta kerjasama erat bersama rakan strategik dan media dapat diteruskan khususnya Tahun 2024 memandangkan ia merupakan Tahun Melawat Perak.