30 Ogos 2024 - Lebih 1000 warga kota Ipoh menyertai Merdeka Fun Ride 2024 yang berlangsung malam tadi.
Acara tahunan yang dulunya dikenali sebagai Kayuhan Merdeka itu telah berlangsung di Persiaran Bandaraya, berhadapan bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Perlaksanaannya bertujuan untuk mempamerkan rasa cinta terhadap Malaysia di samping meraikan kepelbagaian masyarakat berbilang kaum yang mewarnai negara Malaysia melalui sukan berbasikal.
Terdahulu, acara pelepasan Merdeka Fun Ride 2024 telah disempurnakan, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, dan YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak serta Y.Bhg Dato’ Rumaizi bin Baharin@ Md Daud, Datuk Bandar Ipoh.
Program yang bermula pada jam 8.30 malam hingga 11.00 malam itu, melibatkan dua kategori kayuhan iaitu kategori VIP dan Kategori Terbuka.
Selain daripada acara kayuhan, program pada malam ini turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan tarian oleh Kumpulan Gema Warisan Budaya MBI dan cabutan bertuah keseluruhan bernilai RM 5000.00.
Pada edisi kali ini, juga turut disediakan gerai jualan di sepanjang Persiaran Bandaraya yang terdiri daripada peniaga-peniaga makanan tempatan dan agensi-agensi swasta.
Penganjuran program ini diharap menjadi wadah terbaik untuk warga kota Ipoh berkumpul, berinteraksi, dan menunjukkan semangat patriotik sambil menikmati keseronokan berbasikal bersama keluarga dan rakan-rakan.
Acara ini bukan sahaja merangkumi kayuhan penuh keceriaan, tetapi juga disertai dengan pelbagai aktiviti menarik sekali gus memupuk perpaduan dan keharmonian.