22 Oktober 2023-Lebih 3000 wargakota Ipoh hadiri Progran Ipoh Low Carbon Day kali ke-64 pagi tadi.
Ipoh Low Carbon Day (ILCD) pada bulan ini bertemakan
#FitMalaysia, bersempena dengan Sambutan Hari Sukan Negara yang disambut pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun.
“Hari Sukan Negara 2023” merupakan agenda nasional yang disambut secara tahunan ini membawa hasrat negara untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup sihat.
Program ILCD kali ini dimulai dengan pelepasan acara Geopark 5Run sejauh 5km yang dianjurkan oleh Perbadanan Taman Negeri Perak (Geopark). Larian ini disempurnakan pelepasannya oleh Y.Bhg Datuk Bandar bersama Timbalan Pengarah Perbadanan Taman Negeri. Acara Larian Geopark 5Run ini diadakan bersempena Sambutan Ulangtahun ke 5 tertubuhnya Geopark Negeri Perak.
Larian ini bermula di Dataran Ipoh dan laluan larian akan melalui sekitar kawasan Bandar Raya Ipoh dan akan berakhir di Dataran Ipoh. Bandaraya Ipoh juga merupakan salah satu lokasi Geopark dalam bandar.
Program kali ini dimeriahkan lagi dengan Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa dan Duli Yang Amat Mulia Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah II Afifurlah yang telah sudi mencemar duli bagi merasmikan acara International Geopark Run (IGR) Series 0.1, 2024 Lembah Kinta.
International Geopark Run Series ini merupakan acara larian bersiri yang dirancang penganjurannya pada setiap tahun yang akan meliputi pelbagai lokasi geopark di seluruh negara yang mana pada tahun 2024 ianya akan bermula di Lembah Kinta, Ipoh; diikuti dengan Lenggong, Perak, Gunung Jerai, Kedah dan lokasi terakhir di Pulau Langkawi, Kedah.
Antara tetamu kehormat lain yang hadir ialah YAB Menteri Besar Perak, YB Speaker Dewan Negeri Perak dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Geopark 5 Run @ Ipoh Low Carban Day (5km) yang berlangsung di Dataran Bandaraya Ipoh ini merupakan satu platform acara bagi mempromosikan IGR pada tahun hadapan dan dimasukkan sebagai satu acara dalam kalendar Tahun Melawat Perak 2024 (VPY 2024) yang akan bermula pada bulan Mac 2024.
Majlis pelancaran ini dilangsungkan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh, Perbadanan Taman Negeri, Tourism Perak, Global Exhbitions & Conferences dan Persatuan Nadi Sihat Malaysia.
Program Ipoh Low Carbon Day yang dilaksanakan pada setiap bulan ini juga bertujuan untuk melibatkan masyarakat Ipoh terutamanya untuk turut serta di dalam aktiviti sosial seterusnya dapat berkongsi dalam menyalurkan ilmu bermanfaat melalui contoh dan permudahcara yang diberikan oleh peserta setiap reruai pameran (booth) seperti cara-cara mengitar semula minyak masak terpakai oleh Persatuan Gema Perak, membuat anyaman atau jahitan, membuat cenderahati dari barangan terbuang, cara mengenali ubat yang kita gunakan dan hasil-hasil seni kraf tangan dari Persatuan-persatuan dan NGO yang hadir pada program ILCD.
Selaras dengan tujuan perlaksanaan program Ipoh Low Carbon Day ini adalah bertujuan kearah pengurangan perlepasan karbon menjelang tahun 2030. Majlis Bandaraya Ipoh adalah merupakan PBT pertama dalam negeri Perak yang menggunakan kenderaan motosikal eletrik secara ‘Prove Of Concept’ berjumlah 2 unit motosikal selama sebulan. Syarikat Blueshark (M) adalah syarikat yang menyumbang kenderaan (Model: Blueshark R1) ini bagi pengunaan Majlis.
Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan, Majlis Bandaraya Ipoh telah diberi peluang untuk menguji-cuba perlaksanaan dan keberkesanan serta penjimatan daripada pengunaan kenderaan eletrik didalam operasi Majlis.
Disamping dapat membantu menjimatkan kos operasi dan kos penyelengaraan Majlis, penggunaan kenderaan elektrik ini juga dapat membantu mengurangkan pencemaran udara yang disebabkan dari pengunaan motosikal yang menggunakan petrol. Ini sejajar dengan Pelan Strategik Majlis Bandaraya Ipoh untuk mensasarkan ‘Low Carbon’, ‘Walkable City 2023’ dan ‘Smart City’.
Program diakhiri dengan keberangkatan pulang DYTM Raja Muda dan DYAM Raja Di-Hilir, manakala sesi penyampaian hadiah dan cabutan bertuah kepada peserta acara Geopark 5Run disempurnakan Oleh Y.Bhg Datuk Bandar.