30 Ogos 2023 – Perkarangan Persiaran Bandaraya malam tadi dibanjiri limpahan cahaya apabila lebih 800 peserta pelbagai latar belakang dan lapisan usia telah menyertai Kayuhan Merdeka 2023 yang memanaskan lagi bahang sambutan Hari Kebangsaan 2023.
Seawal pukul 7.40 malam para peserta telah berkumpul bersama basikal masing-masing untuk menjayakan acara tersebut.
Pelepasan kayuhan telah disempurnakan oleh YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak mewakili YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan bagi penyertaan Kategori Terbuka diikuti Kategori VIP.
Ia turut dihadiri oleh Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh, Y.Bhg. Clr. Dato' Mazlan bin Abd. Rahman dan Clr. Tuan Wong Kar Keat, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI.
Terdapat dua kategori kayuhan iaitu Kategori VIP sejauh 5 kilometer (km) dan Kategori Terbuka (22.9km).
Program Kayuhan Merdeka ini adalah program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Perak bersama-sama MBI bagi sambutan Hari Kebangsaan pada setiap tahun.
Objektif program adalah untuk menyatukan wargakota Ipoh yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama dalam satu program bagi bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2023.
Istimewanya program kali ini, ia bersempena kemerdekaan negara yang ke-66. Tema program juga mengambil tema Hari Kebangsaan 2023 iaitu Malaysia Madani : Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.
Ia diharap dapat menyatukan seluruh wargakota Ipoh yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, budaya dan agama sesuai dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini.
Semoga program ini membantu melahirkan wargakota Ipoh yang aktif, cergas dan sihat.