15 Mac 2024 - Seramai 22 Ahli Majlis telah mengangkat sumpah sebagai jawatan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), yang berlangsung di Dewan Mesyuarat MBI petang tadi.
Majlis angkat sumpah serta perlantikan semula dan baru jawatan itu, telah disaksikan YB Puan Sandrea Ng, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak.
Acara angkat sumpah tadi telah dilaksanakan mengikut lima kumpulan, yang mana Y.Bhg. Dato Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh mendahului acara mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis.
Tempoh perlantikan semula dan baru Ahli Majlis MBI ini adalah selama dua tahun bermula 16 Mac 2024 sehingga 15 Mac 2026.
Dalam ucapannya, YB Puan Sandrea Ng berkata, Kerajaan Negeri Perak berharap semua Ahli Majlis dapat memainkan peranan masing-masing dalam usaha untuk membantu, khususnya MBI dalam membangunkan Bandar Raya Ipoh sesuai dengan bandar raya ini selaku ibu negeri Perak Darul Ridzuan.
Beliau juga berharap komitmen tinggi daripada keseluruhan Ahli Majlis yang dilantik pada pada petang ini dalam usaha kerajaan memajukan Bandaraya Ipoh dan negeri Perak ke arah Ipoh Bestari Sejahtera dan Perak Sejahtera.