1 Ogos 2024 - Kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) 2024 Fasa Ketiga.
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berjaya meraih tempat ketiga dalam acara Pandu Misteri (Treasure Hunt) di dalam Kejohanan Sukan MALA 2024 Fasa Ketiga.
Acara yang julung kali diperkenalkan itu telah melibatkan penyertaan sebanyak 40 pasukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Malaysia.
Dalam pertandingan tersebut para peserta yang mengambil bahagian perlu melengkapkan tiga cabaran iaitu uji minda, mencari harta karun dan pengetahuan am dengan tempoh masa yang diperuntukkan oleh setiap pasukan adalah enam jam, dengan menaiki kenderaan dan perlu menempuhi empat daerah seluruh Negeri Melaka.
Menerusi pertandingan ini, pasukan daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah dinobatkan sebagai juara Pandu Misteri manakala di tempat kedua pula menjadi milik pasukan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Kejohanan Sukan MALA 2024 Fasa Ketiga yang berlangsung pada 1 hingga 4 Ogos di Bandar Raya Melaka itu, menyaksikan sebanyak empat acara dipertandingkan iaitu, Badminton, Karom, Ping Pong dan Pandu Misteri.
Hasil kemenangan ini menyaksikan kontinjen MBI kini terus berada di kedudukan teratas dengan keseluruhan mata terkumpul sebanyak 48.