3 April 2024 - Majlis Bandaraya Ipoh dengan kerjasama Syarikat TLB Enterprise & Management telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa Datuk Bandar Ipoh Bersama Ketua Biro Media Perak di Miker Signature, Medan Gopeng malam tadi.
Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@ Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah meraikan Ketua-Ketua Biro Media Negeri Perak dalam Majlis Berbuka Puasa yang diatur khas bagi memastikan hubungan erat antara MBI bersama rakan media massa akan terus berkekalan demi kesejahteraan Bandaraya Ipoh.
Ia turut dihadiri oleh Encik Beh Teck Lee, Pengarah Syarikat TLB Enterprise & Management dan Ketua-Ketua Jabatan MBI.
Pada masa yang sama juga, ia dapat mengimarahkan lagi bulan Ramadan pada tahun ini serta membantu meningkatkan syiar Islam di Bandaraya Ipoh amnya dan negeri Perak khususnya.
MBI juga sentiasa mengimarahkan bulan Ramadhan Al Mubarak dengan mengadakan pelbagai program seperti Majlis Berbuka Puasa bagi meraikan anak yatim, Pemilihan Pakaian Raya untuk anak yatim serta menjalankan morei di masjid dan surau sekitar Bandaraya Ipoh.
Dalam ucapannya, Datuk Bandar mrmaklumkan bahawa beliau sememangnya menanti peluang keemasan ini untuk beramah mesra dan mengenali Ketua-Ketua Biro Media secara lebih dekat dalam suasana yang lebih santai.
Beliau juga berharap majlis tersebut akan menjadi platform untuk memupuk kerjasama yang lebih erat dengan rakan media untuk kepentingan wargakota secara menyeluruh. Ia amat penting dalam mempertingkatkan persefahaman yang baik antara media dan MBI.
Rakan media massa di Bandaraya Ipoh sentiasa memberikan kerjasama yang amat diharapkan kepada MBI selama ini serta banyak mengeluarkan kenyataan-kenyataan seimbang tentang Bandaraya Ipoh dalam akhbar-akhbar, radio dan juga di TV bagi mendapat gambaran sebenar agar tidak dikelirukan oleh mereka yang mengambil peluang untuk mempolitikkan sesuatu isu.
Semoga majlis ini akan terus mengeratkan hubungan antara MBI dan Ketua-Ketua Biro Media Perak.