12 Januari 2024-Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud telah menyempurnakan Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Tahun 2024 bagi Bulan Disember 2023 pagi tadi.
Ia turut dihadiri oleh Y.Bhg. Dato' Mazlan bin Abd. Rahman, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Ahli Majlis, Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya, Pengarah Kanan dan Ketua Jabatan MBI.
Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Tahun 2024 bagi Bulan Disember 2023 menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa wang tunai berjumlah keseluruhan RM 4,500 untuk dimenangi oleh 10 orang pemenang dengan hadiah utama bernilai RM 1,000.00.
Pada 11 Disember 2023 yang lalu, pihak Majlis telah melaksanakan cabutan bertuah bulanan secara digital bagi bulan November 2023 dan 10 orang pemenang telah diketahui.
Program ini juga diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada pembayar-pembayar awal yang telah selesai melaksanakan tanggungjawab mereka kepada Bandaraya Ipoh setiap tahun.
Program Cabutan Bertuah Cukai Taksiran bulanan ini juga diadakan sebagai hebahan kepada wargakota memandangkan mulai penggal 2/2023 tiada lagi penghantaran bil fizikal kepada pemilik –pemilik harta. Oleh yang demikian, wargakota boleh memuat turun aplikasi DMBI atau melayari portal MBI(d-mbi@ipoh) untuk semakan dan seterusnya membuat pembayaran secara atas talian. Ini merupakan langkah untuk menggalakkan wargakota membuat pembayaran tanpa perlu hadir ke kaunter tetapi masih boleh menyertai Cabutan Bertuah.
Untuk makluman, sehingga Disember 2023 sebanyak 19,630 bil telah membuat pembayaran awal selama setahun bagi bil cukai taksiran 2024 dan mencatatkan jumlah bayaran sebanyak RM 7.06juta.
Pihak Majlis membuka peluang penyertaan cabutan bertuah ini kepada SEMUA saluran pembayaran yang membuat pembayaran Cukai Taksiran Setahun dan tanpa tunggakan iaitu di Kaunter Pembayaran Majlis Bandaraya Ipoh, Kaunter Pejabat Pos, Kaunter PBT Perak, Mesin Kiosk serta pembayaran atas talian iaitu pembayaran melalui Portal MBI (d-mbi@ipoh), PBTPay, Jompay dan juga perbankan internet.
Sebanyak 10 pemenang bagi Edisi bulan Disember 2023 telah dilaksanakan hari ini dan pemenang ini masih layak menyertai Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Tahun 2024 yang akan diadakan selepas tamat tempoh bayaran pada 29 Februari 2024.
Wargakota yang masih belum menjelaskan bayaran cukai taksiran boleh membuat pembayaran dengan kadar segera dan masih berpeluang untuk memenangi hadiah utama Cabutan Bertuah Tahun 2024 yang dijangka akan berlangsung pada Mac 2024.
Semoga sokongan padu berterusan wargakota Ipoh kepada MBI akan membantu merealisasikan hasrat MBI untuk menjadikan Ipoh Bandaraya Ipoh Bestari.