27 November 2023 - Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi Program Flagship 15-Ipoh Bandaraya Ekonomi Donat 2027 telah diadakan di Dewan Azlan Shah, Tingkat 10 , Bangunan MBI petang tadi.
MOU kerjasama ini ditandatangani oleh Prof Sibrandes Poppema, Presiden Sunway University mewakili Sunway University akan memberikan kepakaran teknikal, Institut Darul Ridzuan selaku badan pemikir diwakili oleh Dr. Maisarah Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Darul Ridzuan (IDR) mewakili Kerajaan Negeri Perak manakala Majlis Bandaraya Ipoh yang diwakili oleh Y.Bhg. Dato’ Rumaizi bin Baharin@ Md Daud, Datuk Bandar Ipoh pula sebagai pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab yang disaksikan oleh Y.Bhg. Prof Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood Executive Director Sunway Centre for Planetary Health, Sunway University, TPr. Dr. Zulqarnain Mohamad, Ketua Eksekutif Sekretariat Ipoh Bandar Ekonomi Donat dan Cik Norliyati Mat Noh, Ketua Bahagian Pembangunan Strategik & Projek IDR.
Ia turut dihadiri oleh Puan Ivy Wong, Head of Environment Yayasan Hasanah, Ahli Majlis, Pengarah Kanan, Ketua Jabatan MBI, pegawai IDR, SPCH dan Yayasan Hasanah.
MOU ini adalah bertujuan mewujudkan kerjasama tiga pihak bagi merealisasikan Ipoh Bandar Ekonomi Donat sejajar hasrat Pelan Perak Sejahtera melalui flagship ke 15 iaitu bagi membantu memacu negeri Perak ke arah sebuah negeri yang maju dan sejahtera.
Konsep bandar ekonomi donat seperti yang dilhamkan oleh Professor Kate Raworth dari Oxford University adalah bagi memastikan pembangunan yang seimbang dalam memenuhi keperluan ekonomi tetapi dalam lingkungan had kemampuan alam sekitar. kerangka ekonomi bandar ini disempadani oleh bulatan kesejahteraan sosioekonomi di bahagian dalam dan disempadani oleh batasan kemampuan alam sekitar di sebelah luar menjadikan bentuknya seperti donat atau kuih keria.
Konsep ekonomi bandar donat ini telah dilaksanakan di beberapa bandaraya dunia antaranya Amsterdam (Belanda), Brussels (Belgium), Berlin (Germany), Melbourne dan Sydney (Australia), Oxford dan Birmingham (UK). Ianya adalah ekonomi kitaran yang bukan sahaja mengambilkira kelestarian alam sekitar, tetapi juga keadilan sosioekonomi dan kesesuaian tempatan. Ipoh merupakan bandaraya pertama di rantau ini mempelopori konsep bandar ekonomi donat.
Majlis Bandaraya Ipoh telah mengambil inisiatif awal dengan mewujudkan sebuah Sekretariat Ipoh Bandar Ekonomi Donat bagi membantu mencapai hasrat ini.