31 Julai 2024 - Y.Bhg. Dato' Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah meraikan anak yatim serta merasmikan pembukaan Restoran Mr Roasted Greentown petang tadi.
Jabatan Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Ipoh menjalankan pemantauan secara rutin dan berkala di semua premis establisymen makanan yang dilesenkan dibawah MBI.
Sehingga Jun 2024, sebanyak 953 (30%) daripada 3200 premis makanan telah mencapai pengiktirafan sijil Gred A dan sebanyak 2203 (69%) mencapai Sijil Gred B dan selebihnya sebanyak 44 (1.0 %) premis mencapai Gred C.
Adalah dimaklumkan bahawa pengiktirafan sijil Gred A adalah sah untuk tempoh 2 tahun dari tarikh dikeluarkan. Bagi pemilik premis yang memiliki Sijil Gred B boleh mengemukakan permohonan untuk naik Gred di Tingkat 5, Jabatan Kesihatan Persekitaran, Majlis Bandaraya Ipoh. Permohonan akan diproses dalam tempoh 2 minggu bagi menilai semula dan sekiranya premis memperolehi markah 86% dan ke atas, layak diberi Sijil Gred A.
Setiap permohonan perlu memenuhi kriteria pengsijilan Gred A yang mengambil kira tahap kebersihan premis dan tandas berkonsep Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) serta perlu mengemukakan beberapa dokumentasi yang utama seperti kad suntikan anti-typhoid bagi semua pengendali makanan, salinan Sijil Kursus Pengendali makanan, pemasangan alat perangkap minyak (grease trap), dan mengemukakan Sijil /surat kawalan serangga perosak (pest control).
Premis yang mendapat Gred A akan menjamin persekitaran yang bersih serta penyediaan makanan yang selamat dan berkualiti. seterusnya dapat merancakkan industri gastronomi dengan kehadiran pelancong tempatan dan luar negara.
Penguasa-penguasa estalisymen makanan boleh bergerak seiring dengan kemajuan bandaraya Ipoh sejajar dengan sasaran IPOH BANDAR PELANCONGAN UTAMA NEGARA 2025. Ini juga adalah persiapan awal Majlis Bandaraya Ipoh untuk menerima pelancong – pelancong dari dalam dan luar negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Kerjasama daripada semua pengusaha / pemilik premis establisymen makanan amat diperlukan untuk mencapai sasaran sekurang – kurangnya 50% daripada 3200 premis makanan mendapat Sijil Gred A menjelang tahun 2026.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Persekitaran, Majlis Bandaraya Ipoh di talian 05-2083290 atau 05-2083289.