11 Mac 2024 - YB Puan Sandrea Ng, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeir Perak telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Induk Landskap Ipoh 2023-2035, Pelan Induk Perancangan Pengurusan Lalulintas & Infrastruktur MBI 2023-2033, Aplikasi Ipoh Go (Travel Smarter), Video Korporat MBI dan Video Pelancongan Ipoh pagi tadi.
Ia turut dihadiri oleh Puan Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), YB Puan Wong Chai Yi, ADUN Simpang Pulai, Y.Bhg. Clr. Dato' Mazlan bin Abd. Rahman, Clr. Tuan Wong Kar Keat, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Ahli Majlis, Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya, Wakil Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Perak, Pengarah Kanan dan Ketua Jabatan MBI.
Pelan Perancangan Strategik merupakan garis panduan dalam memastikan segala perancangan dapat direalisasikan sejajar dengan Agenda Global, Kerajaan Pusat, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Pelan Perancangan Strategik MBI 2021-2030 ini dibangunkan dengan kerjasama Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan PLANMalaysia. Pelan yang dibangunkan ini juga merupakan komponen terpenting dalam usaha merangka dasar, menentukan strategi dan pelan tindakan berorientasikan hala tuju Ipoh pada sepuluh (10) tahun akan datang dengan mengambilkira kepada analisis persekitaran dalaman dan luaran.
Seiring dengan perubahan masa, Majlis Bandaraya Ipoh juga menghadapi tekanan dan cabaran dalam usaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik bagi memenuhi ekspektasi rakyat. Cabaran-cabaran besar yang kita hadapi pada hari ini, terutamanya situasi pasca COVID-19 perlu ditangani dengan lebih efisien dan efektif demi menggerakkan semula ekonomi bandar raya Ipoh.
Pandemik COVID-19 telah mendorong kita, pihak kerajaan, swasta dan masyarakat, meningkatkan usaha menguasai teknologi digital. Seiring dengan perubahan masa, Majlis Bandaraya Ipoh juga menghadapi tekanan dan cabaran dalam usaha untuk mengenal pasti peluang dan meningkatkan pengetahuan dalam penerokaan masa depan digital bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan digital kerajaan berteraskan keperluan rakyat.
Pelan Perancangan Strategik Majlis Bandaraya Ipoh 2021 ini didukung dengan visi menjadikan Ipoh Bandar Wilayah Pintar berteraskan Ekosistem Mampan dan Bestari Sejahtera. Dengan Memperkasakan Pengurusan Bandar Secara Inklusif Ke Arah Bandar Raya Pintar, Rendah Karbon Dan Bestari Sejahtera Menjelang 2030, pelan ini telah dirangka berasaskan tujuh penandaarasan iaitu:
a) Ipoh Bandar Raya Terbersih di Malaysia Tahun 2023;
b) Ipoh Bandar Raya Pelancongan Utama Negara Tahun 2025;
c) Ipoh Memiliki Infrastruktur Digital Dan Infrastruktur- Infrastruktur Lain, Antara Yang Terbaik Dalam Negara Tahun 2027;
d) Ipoh Bandar Pintar Tahun 2030;
e) Ipoh Bandar Rendah Karbon Tahun 2030
f) Ipoh Bandar Bestari Sejahtera Tahun 2030; dan
g) Ipoh Mencapai Sasaran Bandar Berpendapatan Tinggi Tahun 2030.
Pelan ini dibangunkan berdasarkan aspirasi pemegang taruh dan warga kota dengan menekankan matlamat kerberhasilan yang lebih holistik, sistematik dan inklusif dalam merangka lima (5) teras strategik yang menuju ke arah memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan secara pintar, efektif dan dinamik iaitu:
1. Pembentukan Masyarakat Bestari Sejahtera;
2. Memperkasakan Infrastruktur dan Kemudahan Awam;
3. Kelestarian Alam Sekitar;
4. Mengukuhkan Ekonomi Yang Berdaya Tahan; dan
5. Memperkasakan Tadbir Urus Yang Kompeten.
Pelan Induk Landskap (PIL) Majlis Bandaraya Ipoh
Pelan Induk Landskap (PIL) Majlis Bandaraya Ipoh ini merupakan satu dokumen penting bagi Majlis Bandaraya Ipoh dalam menentukan dasar, hala tuju, program dan sasaran bagi pembangunan landskap yang lestari sejajar dengan dasar Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Ketika dunia menghadapi pelbagai krisis berkaitan alam sekitar, adalah wajar pembangunan dan pemeliharaan landskap ini ditekankan kerana pembangunan ruang landskap yang berkesan adalah merupakan asas kepada persekitaran yang baik, bersih dan tenang.
Bandaraya Ipoh amat memerlukan ruang landskap yang indah dan berkesan dalam memastikan warganya dapat hidup dalam keadaan yang baik.
Perancangan di dalam Pelan Induk Landskap ini diharap dapat dilaksanakan serta semua pihak berkepentingan, rakan strategik dan wargakota Ipoh diseru dapat menghayati dan bekerjasama untuk merealisasikan Pelan Induk Landskap Majlis Bandaraya Ipoh ini.
Pelan Induk Perancangan dan Pengurusan Lalulintas
Seperti semua sedia maklum bahawa Bandaraya Ipoh merupakan ibu negeri Perak yang berkembang pesat. Ini menyumbang dan secara langsung menyebabkan isu kesesakan lalulintas terutamanya melibatkan kawasan tumpuan orang awam seperti kawasan pusat komersial, pelancongan dan penempatan berdensiti tinggi.
Justeru itu, amat bertepatan sekali untuk pihak MBI bekerjasama dengan Perunding Trafik Bakti bagi melaksanakan kajian Pelan Induk Perancangan dan Pengurusan Lalulintas bagi menilai tahap kelancaran lalulintas sedia ada di 6 zon di kawasan pusat bandar dan jalan utama masuk ke Bandaraya Ipoh iaitu:
a) Zon A: Jalan Sultan Azlan Shah;
b) Zon B: Jalan Raja DiHilir;
c) Zon C: Jalan Sultan Azlan Shah;
d) Zon D: Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab;
e) Zon E: Jalan Raja Musa Aziz/Jalan Raja Ashman Shah;
f) Zon F: Jalan Sultan Iskandar Shah/Kawasan Pekan Lama Ipoh.
Kajian lalulintas ini dijalankan secara mikroskopik dan makroskopik dengan penghasilan laporan bertulis dan laporan model simulasi mikroskopik 3 dimensi supaya hasil penambahbaikan dapat dinilai secara realistik dan berkesan untuk menangani isu kesesakan lalulintas secara bersepadu.
Melihat kepada keberkesanan lalulintas di Jalan Tambun, kajian yang dilaksanakan telah meliputi aspek berikut iaitu:
a) Menangani isu kesesakan dengan kaedah penyuraian dan pengasingan lalulintas yang menekankan kaedah mesra alam bagi tujuan pengurangan pelepasan gas karbon;
b) Laluan pejalan kaki dan laluan basikal yang berkonsepkan laluan hijau bagi kemudahan mobiliti dan kebolehsampaian di kawasan tumpuan di pusat bandar;
c) Cadangan keperluan tempat letak kereta bagi kemudahan wargakota dan pengunjung di kawasan-kawasan tumpuan utama terutamanya di kawasan pusat bandar dengan kaedah “Parking Demand Analysis dan mengemukakan cadangan yang bersesuaian secara menyeluruh termasuk cadangan-cadangan lain yang munasabah;
d) Kajian pengangkutan awam dengan mencadangkan kaedah penambaikan pilihan mod pengangkutan awam melalui pengintegrasian perancangan guna tanah dan pengangkutan dengan mengambilkira keperluan OKU dan mesra pengguna.
Kerjasama dan penglibatan semua pihak dalam pelaksanaan Pelan Kajian Pelan Induk Perancangan dan Pengurusan Lalulintas dan Infrastrtuktur ianya juga dapat merancakkan pertumbuhan pembangunan dan ekonomi setempat yang mapan dan lestari selari dengan hasrat Majlis Bandaraya Ipoh ke arah Bandaraya Rendah Karbon 2030 dapat dilaksanakan demi kesejahteraan semua.
Aplikasi IpohGo
Aplikasi IpohGo merupakan aplikasi mobile versi Android yang mengandungi maklumat mengenai tempat-tempat yang menarik di sekitar Ipoh. Aplikasi ini menyenaraikan 6 kategori maklumat iaitu penginapan, makanan, bukit batu kapur, perniagaan, jejak warisan dan rekreasi & semulajadi. Maklumat terperinci akan dipaparkan apabila pengguna memilih untuk melihat info mengenai sesuatu lokasi yang menarik minat mereka.
Ia secara tidak langsung akan membantu memberi kemudahan dan keselesaan kepada para pelancong serta meningkatkan sektor pelancongan di Bandaraya Ipoh dan negeri Perak.
Ia disusuli pula oleh video korporat MBI dan video pelancongan untuk terus memantapkan sektor pelancongan di Bandaraya Ipoh.
Semoga pelancaran program ini akan meletakkan Majlis Bandaraya Ipoh antara Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik di Rantau ASEAN.